Malaysia Dateline

Isu subsidi baja padi akan selesai diedar minggu hadapan

Pengedaransubsidi  baja padi kepada pesawah-pesawah, terutamanya di kawasan utara tanah air, akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini selepas Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan permohonan penyusunan semula kuota baja tersebut.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata, setakat ini proses pengedaran baja tersebut sudah mula digerakkan sejak minggu lepas.

“Selepas kementerian pertanian dapat kelulusan kontrak tambahan ini dari kementerian kewangan, baja dah mula dihantar pada petani-petani yang bermula seawal minggu lepas lagi.

“Jumlah baja yang dihantar pada musim kedua tanaman padi ini melibatkan peruntukan sebanyak RM150 Juta.

“Jangkaan saya tak ambil masa lama, dua minggu dah boleh hantar kepada semua. Kilang kita juga hampir di kawasan padi, jadi memang kita boleh hantar secepat mungkin kepada petani kerana mereka sangat memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Skuad Bantuan Banjir, di Pejabat Nafas, Kota Damansara.

Rabu lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan bagi membolehkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengagihkan baja subsidi kepada petani di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya memberi jaminan subsidi baja akan diagihkan secepat mungkin selepas permohonan peruntukan kewangan diluluskan.