Malaysia Dateline

Isu Syed Saddiq: Selesaikan konflik secara bertamadun, kata Pemuda AMANAH Johor

Pemuda AMANAH Negeri Johor melahirkan rasa kesal terhadapĀ  kejadian yang menimpa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar.

Pengerusi Hal Ehwal Undang-Undang (KANUN) Pemuda AMANAH Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kejadian diserang oleh sekumpulan gengster adalah sangat dikecam dan tidak terbayang masih berlaku di era Malaysia baharu.

“Pemuda AMANAH Negeri Johor mengucapkan tahniah pada pihak PDRM atas tindakan segera menubuhkan satu jawatankuasa khas menyiasat kejadian ini di bawah beberapa seksyen yang berasingan dalam Kanun Keseksaan.

“Pemuda AMANAH Negeri Johor akhirnya menyeru supaya sebarang konflik perlulah diselesaikan dalam keadaan yang bertamadun dan mengikut undang-undang melalui perbincangan, diskusi dan dialog dan bukannya melalui emosi lebih-lebih lagi tindakan gengsterisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Sinar Online, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dirinya bersama beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor diserang sekumpulan individu ketika menghadiri perjumpaan di Savanah Hill Resort, Ulu Tiram pada malam 31 Januari lalu.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu dalam satu kenyataan di akaun Instagram miliknya malam tadi memberitahu, pertemuannya bersama ahli Armada dan Srikandi Bersatu Johor itu turut dicemari dengan laungan kata-kata kesat dan perbuatan tidak beradab.