Malaysia Dateline

Isu Tabung Haji: “Agamawan” itulah sebenarnya jatuhkan imej Islam

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Hanipa Maidin menyifatkan dakwaan seorang agamawan kononnya isu Tabung Haji diguna secara tersirat untuk menjatuhkan imej Islam sebenarnya berbalik kepada diri individu tersebut.

Tanpa menyebutkan nama agamawan yang dimaksudkan, Hanipa berkata ramai pihak lain juga mengulang “fatwa” sama apabila agamawan tersebut mengaitkan kes DoJ dan 1MDB sebagai campur tangan asing.

“Media lapor ada agamawan kata isu Tabung Haji digunakan secara tersirat untuk jatuhkan imej Islam. Tak tahu nak kata apa lagi.

“Bagi kita, yang beliau kata itulah yang sebenarnya jatuhkan imej Islam. Tapi kita siapa. Alasan beliau adalah Tabung Haji diserang di media bukan di mahkamah.

“Jadi, itu salah. Dan secara mudah ada agenda tersirat nak jatuhkan imej Islam. Dulu bila kes DoJ dengan 1MDB, di”fatwa” ia campurtangan asing. Habis ramai agamawan pun ulang “mantera” yang sama,” ujarnya dipetik dari Facebook beliau.

Untuk rekod, Harakahdaily pada 27 Disember lalu melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan isu Tabung Haji digunakan sebagai agenda tersirat pihak tertentu untuk menjatuhkan imej Islam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu itu berkata demikian dalam sesi dialog bersama warga Malaysia di Hotel Holiday Villa, London, United Kingdom pada 25 Disember lalu.

“Mereka hentam Tabung Haji melalui media, bukan melalui mahkamah. Media menjadi hakim, ini tak betul, salah! Apa membimbangkan kita, digunakan isu ini untuk merendahkan imej Islam.

“Itu agenda itu ada. Ini kita kena sedar. Padahal pihak lain banyak juga buat salah. Tapi dibesarkan di media, agenda yang tersirat ialah untuk menjatuhkan imej Islam,” kata Abdul Hadi.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam wacana Bicara Minda di Dewan Karangkraf, di Shah Alam, 12 Disember berharap isu Tabung Haji tidak dijadikan ‘kambing hitam’.

Menurutnya, masalah Tabung Haji harus diselesaikan dengan seadil-adilnya dan tanpa mempunyai agenda politik kerana Tabung Haji melambangkan agama Islam.

“Masalah bukan datang dari Tabung Haji sahaja tetapi dari Perwaja, KWSP dan tenggelam dalam lipatan sejarah,” kata Abdul Hadi lagi.

Mengulas lanjut, Hanipa berpendapat golongan sealiran dengan agamawan tersebut kerap merumuskan apa sahaja isu berkaitan Islam dengan konspirasi menjatuhkan agama.

“Bagi puak-puak ini, lain tak ada. Bila institusi Islam dikritik, ipso facto ia agenda. Ia konspirasi. Ia “grand design” untuk jatuhkan Islam.

“Sebab tu tak boleh kritik. Kritik Tabung Haji – agenda jatuhkan imej islam. Kritik sekolah tahfiz yang hanya ada satu pintu saja semasa terbakar – nak runtuhkan pendidikan Islam walaupun murid murid terkorban kerana keculasan manusia. Tak mengapa sheikh. Itu syahid.

“Kritik parti Islam – lawan ulamak. Keluar parti Islam – rosak aqidah. Kritik mahkamah syariah atau RUU (Rang Undang-Undang) 355 – lawan hukum Islam.

“Kritik pemimpin Islam yang korup dan rasuah – ia sebahagian agenda Yahudi atau DAP. Maka keluar “fatwa” lebih baik Melayu/Islam yang korup dari Cina yang makan khinzir,” sindir Ahli Parlimen Sepang itu.

Sehubungan itu, Hanipa yang juga Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (KANUN) menyelar sikap taat membuta tuli yang jelas membelakangi pemikiran rasional dan matang.

“Justeru kita kena buat apa lihat itu semua? Mulut kena zip dan otak kena letak kat lutut. Dengar dan taat macam kerbau kena ikat tali.

“Kena kata ‘let it be’. Enta tahu apa? Enta jebon (panggilan Pas kepada pemimpin dan ahli AMANAH ketika berada dalam Pas) dan tak suci,” sinis Hanipa lagi.