Malaysia Dateline

Isu Tabung Haji: Pengurusan lama dibekukan jawatan bukan dipecat

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyanggah dakwaan bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bahawa pengurusan terdahulu TH dipecat seolah-olah mereka sudah bersalah.

Menurut Naib Presiden AMANAH berkenaan, tindakan terhadap pengurusan kanan TH sebelum ini berkaitan dengan laporan polis berhubung dakwaan salah guna kuasa.

“Sebenarnya bukan pemecatan. Apa yang berlaku, pegawai-pegawai kanan yang terlibat itu ialah yang terlibat dengan laporan polis berkenaan.

“Siasatan dalaman tidak mencukupi dengan tempoh yang memakan masa. Mana-mana syarikat pun sudah lumrah apabila ada siasatan dalaman, mereka terlibat dibekukan (daripada jawatan) bukannya dibuang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program secara langsung ‘Bicara YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa’ (Siri 6) bertajuk, “Politik Berprinsip atau Politik Berpolitik” menerusi saluran Jom Channel di YouTube malam tadi.

Terdahulu, Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam debat anjuran Sinar Harian dengan Mujahid pada 14 Ogos lalu mendakwa pengurusan lama TH tidak disoal tetapi terus dipecat seolah-olah mereka sudah bersalah.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, sekurang-kurangnya empat laporan polis terlibat dengan pengurusan lama institusi kewangan Islam itu.

“Satu berkenaan Yayasan Tabung Haji (YTH) di mana Pengerusi dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) serta COO (Ketua Pegawai Operasi) telah dibuat laporan polis.

“Keduanya, laporan polis berkenaan satu transaksi pembelian tanah ladang di luar negara melibatkan FGV (FGV Holdings Bhd) dengan nilai yang meragukan. Ia melibatkan jenayah perdagangan. Dakwaan itu dibuat terhadap CEO dan COO.

“Satu lagi, kes TH menjual satu usahasama ladang dengan Indonesia, TH Indo Plantations juga melibatkan soal perjanjian bersyarat jual beli yang meragukan dengan memberi satu gambaran tidak betul kepada kedudukan kewangan TH.

“Mereka yang terlibat dengan laporan polis ini setelah dibuat penilaian lembaga ketika itu. Sudah tentu dari segi disiplin, mereka dikenakan tindakan pembekuan daripada jawatan masing-masing bagi melancarkan proses siasatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan tindakan terhadap pengurusan tertinggi TH terbabit tidak harus terus dimainkan.

“Jadi, tidak perlulah hal itu dimainkan sebagai satu sentimen sedangkan mereka yang terlibat itu dikenakan laporan polis dan dikenakan tindakan tatatertib dalaman,” tegas Mujahid lagi.

Kecenderungan politik

Mujahid pada 2018 iaitu ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan dapatan siasatan dalaman berkaitan isu penyelewengan TH susulan laporan kewangan TH 2017 yang bercanggah termasuk isu keuntungan.

Pada November 2018, TH membuat dua laporan polis melibatkan Abdul Azeez; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta beberapa pengurusan kanan lain.

Mereka yang lain ialah Datuk Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Laporan pertama melibatkan Program YTH 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Walau bagaimanapun, Abdul Azeez berkata, dana RM22 juta itu digunakan untuk program “Ziarah Kasih”, “Jom Bantu Rakyat” dan “Ziarah Kasih Ramadhan” bagi membantu ibu-ibu tunggal miskin di lebih 60 kawasan Parlimen tanpa mengira fahaman parti.

Dana tersebut, jelasnya, bukan wang daripada pendeposit TH tetapi sebahagiannya hasil daripada keuntungan pelaburan TH itu sendiri berjumlah RM7 juta selain hasil sumbangan Umno, kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat yang tidak pernah berniaga dengan TH untuk menjalankan aktiviti bulan Ramadhan pada 2017.

Dalam pada itu, laporan kedua yang dibuat ke atas Ismee, Hazlina dan Rifina adalah berhubung salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus saham dalam PT TH Indo Plantations dipegang dua anak syarikatnya, TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd kepada PT Borneo Pacific dengan harga AS$910 juta.

PT TH Indo Plantations memiliki ladang kelapa sawit berkeluasan 83,000 hektar di Indonesia.

Laporan yang dibuat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial itu adalah siasatan dalaman pertama pengurusan baharu yang dilantik sejak Julai 2018 terhadap transaksi masa lalu.

Sejak 1 Mac 2015, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan kepincangan TH sehingga membawa dirinya ke penjara kononnya memfitnah TH selain dalam masa sama dikeji secara berterusan oleh penyokong Umno dan Pas.

Abdul Azeez merupakan Anggota Lembaga Pengarah TH pada 2011 sebelum dilantik menjadi Pengerusi TH berkuat kuasa 1 Julai 2013 bagi menggantikan Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor yang telah menjawat jawatan itu sejak Ogos 2007.

Bagaimanapun, Abdul Azeez mengesahkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi TH pada 23 Mei 2018 iaitu dua minggu selepas tumbangnya kerajaan BN meskipun kontraknya hanya akan tamat pada Julai 2019.