Malaysia Dateline

Isu Tabung Haji: Siasat secara telus bukan balas dendam

Pas mengharapkan pendedahan terhadap penyelewangan yang didakwa berlaku dalam Tabung Haji bukan hanya sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti yang kukuh.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata, bagi setiap kesalahan, penyelewengan atau salah laku yang mempunyai bukti kukuh dan saksi perlulah dibawa ke muka pengadilan mengikut tatacara penyiasatan dan pendakwaan yang telus.

“Kita tidak mahu ianya ‘dihukum’ oleh orang ramai melalui persepsi dan olahan media massa serta kenyataan politik yang mengelirukan malah menambah buruk keadaan.

“Kaedah Islam dan pengadilannya, mana -mana pihak pun yang didakwa atau dituduh, tidaklah boleh dihukum bersalah sehingga jelas terbukti bahawa mereka bersalah melalui proses penghakiman yang adil dan telus.

“Tentu sahaja semua pihak ternanti-nanti untuk melihat fakta dan bukti penyelewengan yang berlaku dalam TH,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media pada Jumaat lalu, dakwaan ke atas pengurusan Tabung Haji berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Walau bagaimanapun semalam, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat memberi jaminan kepada semua pendeposit bahawa simpanan mereka selamat.

Hari ini bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Rahim pula dipetik berkata, jumlah keseluruhan RM22 juta didakwa diselewengnya daripada Yayasan Tabung Haji (YTH) untuk tujuan politik sebenarnya diagihkan melalui program Ziarah Kasih, Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan selama setahun membantu golongan memerlukan.

 

Pas katanya mengalu-alukan sebarang langkah untuk memperbetulkan dan membaiki TH sebagai satu institusi penting umat Islam di negara ini.

“Jangan pula ianya dibuat hanya untuk mengalih perhatian rakyat terutamanya masyarakat Islam dan Melayu daripada Himpunan Tolak ICERD yg akan di adakan pada hari sabtu ini.

“Lebih malang lagi sekiranya ianya dibuat dengan niat yang tidak baik dan mempunyai agenda tertentu untuk meruntuhkan satu institusi Islam serta menghilangkan keyakinan umat Islam terutamanya pendeposit terhadap TH.

“Salah tetap Salah. Tiada kompromi pada yang salah. Namun tentukan kesalahan itu melalui proses keadilan yang betul dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan selama ini,” ujarnya.