Malaysia Dateline

Isu tanah Felda: Pemuda AMANAH, Anak gesa SPRM siasat Najib

Pemuda AMANAH dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat penglibatan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak dalam transaksi pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berpendapat tindakan itu perlu dibuat memandangkan kebenaran pindah milik diberikan pihak Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Beranikah pegawai JPM membuat keputusan sebegini penting yang melibatkan aset awam yang begitu bernilai tanpa mendapat kelulusan Perdana Menteri?

“Di samping itu, kami juga menggesa SPRM menyiasat Perdana Menteri sama ada beliau cuba melindungi pengurusan Felda dan FIC (Felda Investment Corporation) yang terlibat,” dipetik daripada memorandum itu.

Hal ini memandangkan, ujar mereka, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memaklumkan skandal transaksi pindah milik tanah yang dijual pada harga RM270 juta melalui satu transaksi yang meragukan itu diketahui oleh Perdana Menteri sejak Februari 2017.

“Tetapi memilih untuk mengambil tindakan dalaman seperti audit dan rundingan tanpa mendedahkan kecurangan transaksi ini kepada umum dan mengarahkan siasatan oleh SPRM,” katanya.

Pemuda AMANAH dan Anak menyifatkan kehilangan tanah strategik yang mempunyai nilai komersil tinggi itu tidak harus dilepaskan kepada mereka yang rakus tanpa mempedulikan hak peneroka Felda.

Mereka berpendapat peneroka tanah rancangan itu sudah berterusan menjadi mangsa kepada kegelojohan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan sehingga terpaksa menanggung kehilangan aset dan bebanan hutang yang bertimpa-timpa.

Sehubungan itu, pihak SPRM digesa supaya membuka semula siasatan skandal tersebut secara adil, telus, bebas dan menyeluruh memandangkan transaksi pindah milik tanah Felda tersebut dibuat secara penipuan (fraud).

“SPRM mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa kes-kes melibatkan penipuan dan pecah amanah dan ini telah menjadi amalan (precedent) selama ini,” dipetik dari memorandum tersebut.

Jelasnya, SPRM telah menyiasat dan mendakwa banyak kes di bawah Kanun Keseksaan termasuk kesalahan jenayah penipuan dan pecah amanah seperti melibatkan Tan Sri Eric Chia di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Tan Sri Isa Samad sendiri dalam kenyataannya pada 25 Disember 2017 menyatakan bahawa beliau masih belum dipanggil SPRM untuk disiasat sedangkan Tan Sri Isa Samad adalah saksi penting berhubung skandal ini di atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi FELDA dan FIC pada masa yang material.

“Jadi, bagaimana SPRM boleh membuat kesimpulan tiada kes rasuah dan salah guna kuasa?” hujah mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada 21 Disember lalu berkata, pihaknya telah menutup penyiasatan skandal transaksi pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak di ibu negara kerana tiada unsur rasuah dan salahguna kuasa.

Beliau juga memberitahu siasatan skandal melibatkan tanah strategik seluas 6.57 hektar itu diserahkan kepada pihak polis dengan alasan transaksi tersebut menjurus kepada kelemahan tadbir urus dan pecah amanah.