Isu tanah Paya Indah Wetland: Pembantu Exco lapor kepada Selcat

Isu tanah Paya Indah Wetland: Pembantu Exco lapor kepada Selcat

Seorang pembantu exco kerajaan negeri Selangor hari ini membuat laporan kepada Selcat mengenai dakwaan perubahan status ke atas sebidang tanah di Tanjung 12, Kuala Langat yang termasuk dalam kawasan perlindungan alam sekitar Paya Indah Wetland.

Pembantu kepada Teng Chang Khim, Abdul Razak Ismail membuat laporan secara rasmi itu kepada Pengerusi Selcat yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh pagi ini.

Selcat adalah singkatan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor yang merupakan jawatankuasa peringkat negeri yang membincangkan isu salah laku di Selangor.

Bagi Razak, berlaku kekhilafan ketika tanah itu di ubah statusnya kepada perumahan pada 17 Februari 2015 lalu.

Ini kerana, kata Razak, tanah itu termasuk dalam kawasan habitat liar Paya Indah Wetland yang perlu dipertahankan.

Permohonan untuk mengubah status tanah ini pernah ditolak oleh exco kerajaan negeri sebelum ini iaitu pada 2014 lalu.

Isu status tanah ini telah menjadi isu kepada kerajaan pimpinan menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penentang beliau dalam PKR.

Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard mendakwa berlaku salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam kelulusan status tanah ini.

Beliau yang kini dikatakan berhadapan dengan tindakan disiplin dari PKR turut akan melancar sebuah buku kecil mengenai perkara ini.

TAGS