Isu tanah terbakar perlu penyelesaian segera, kata Adun Senggarang

Isu tanah terbakar perlu penyelesaian segera, kata Adun Senggarang

Isu pembakaran sampah di Kampung Bukit Dagang, Ulu Tiram Johor, telah mendapat perhatian Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim (gambar atas).

Beliau ketika ditemui berkata, tindakan pengusaha tapak pelupusan sampah berkenaan adalah salah di sisi undang-undang.

Katanya lagi, pengusaha tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana mencemarkan alam sekitar serta menggangu orang ramai.

Tanah yang terbakar di kawasan berdekatan Kampung Bukit Dagang

“Mengikut seksyen 71(1) & 71 (8) akta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam 2007, pengusaha terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM 100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tempat pembuangan sampah tersebut sebelum ini dikenal pasti sebagai tapak pelupusan haram.

“Perkara ini akan diambil berat oleh pihak kami dalam mendesak pihak pengusaha untuk menghentikan kesemua operasi mereka,” ujarnya.

Beliau mendakwa lagi, Pejabat Tanah Daerah (PTD) serta Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) perlu mengambil maklum akan perkara ini.

Katanya, mengikut laporan yang diterima hal tersebut seperti tidak ada kesudahan dan ini akan mendatangkan tanda tanya kepada banyak pihak.

“Saya mendesak PTD dan PTG untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan perkara ini.

“Hal ini akan dibawa ke peringkat lebih tinggi sekiranya masih tidak ada penyelesaian yang konkrit dari pihak terbabit.

“Saya akan membawa ke sidang Dun yang akan bersidang hujung bulan November agar pihak kerajaan negeri maklum serta mengambil berat akan permasalahan ini,” tegasnya.

Sebelum ini, isu tanah terbakar ini telah disuarakan oleh penduduk kampung terbabit bersama Ahli Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan isu tanah tersebut masih belum lagi selesai.

Menurut sumber, pihak berkuasa telah menyatakan kos bagi pemadaman api tersebut akan menelan belanja yang tinggi kerana dijangka terdapatnya bahan toksik atau bahan bakar yang lain sehingga membuatkan api tersebut tidak terpadam walaupun hujan.

 

*Gambar 1 – Tanah yang terbakar di kawasan berdekatan Kampung Bukit Dagang