Isu tanah wakaf Abdul Cauder: MAINPP cuba selesai cara berhemah

Isu tanah wakaf Abdul Cauder: MAINPP cuba selesai cara berhemah
Situasi kediaman premis Jalan Mengkuang semasa kerja-kerja perobohan oleh MAINPP.

Sejak lapan tahun yang lalu isu tanah wakaf Masjid Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth telah cuba diselesaikan dengan cara berhemah oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),kata Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Beliau berkata, perintah mahkamah juga telah beberapa kali ditangguhkan bagi memberi peluang kepada penduduk terlibat.

“MAINPP telah menawarkan pelbagai kemudahan termasuklah menyediakan kemudahan rumah sewa, kemudahan pengangkutan lori untuk berpindah serta kemudahan tenaga kerja bagi mengangkut barang-barang pindahan.

“Selain itu kita turut menjelaskan sebanyak RM4000 bagi kos perpindahan setiap keluarga dan membayar deposit sewa rumah yang ingin mereka duduki.

“Disamping itu usaha juga diambil dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak melalui sumber zakat, ” ujarnya lagi.

Abdul Malik juga berkata, MAINPP mengambil masa selama lapan tahun bagi menangani isu ini, namun begitu ia tidak diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh penduduk terbabit.

Malah tegasnya, terdapat provokasi oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan ia berlarutan begitu lama.

“Tawaran rasmi oleh MAINPP kepada 46 buah keluarga yang menyewa tapak tanah tersebut telah pun dibuat pada 15 September 2010 lagi.

“Ekoran itu 32 keluarga telah bersetuju menerima tawaran yang diberikan oleh MAINPP, manakala 14 lagi membuat tuntutan yang tidak dapat ditunaikan oleh MAINPP.

“Pada 6 April 2011 MAINPP terpaksa mula mengambil tindakan undang-undang terhadap baki 14 keluarga yang enggan berpindah, ” tegasnya.

Datuk Abdul Malik Kassim

Datuk Abdul Malik Abdul Kassim

Menurut Abdul Malik lagi, bagi memberi peluang kepada penduduk untuk berpindah, pelaksanaan milikan kosong yang difailkan telah ditarik balik pada April 2015.

“Sekali lagi MAINPP memohon mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan milikan kosong sehingga 9 Februari 2017 bagi memberi peluang kepada penduduk untuk mengadakan perbincangan.

“Walau bagaimana pun pada 18 Januari 2018 MAINPP memfailkan semula writ milikan setelah dua tahun penangguhan tanpa penyelesaian.

“Pada 21 Jun 2018 sekali lagi MAINPP memfailkan writ milikan kosong untuk kali ketiga dan mahkamah menetapkan 17 Disember 2018 sebagai tarikh pelaksanaan milikan kosong, ” kata Abdul Malik.

Namun begitu tambahnya, hasil perbincangan dengan wakil penduduk, MAINPP untuk kali ketiganya memohon sekali lagi penangguhan mahkamah sehingga 28 Januari 2019.

Atas dasar peri kemanusiaan katanya, MAINPP pada 24 Februari mengambil pendekatan berhemah sekali lagi dengan memberi peluang selama 10 hari kepada keluarga yang engkar untuk mengosongkan premis terbabit.

“Pada 25 Februari MAINPP melaksanakan perobohan dengan terhadap premis yang telah kosong dan berpindah keluar.

“Manakala pada 26b Februari sekali lagi kerja-kerja perobohan dilaksanakan keatas enam premis, tetapi terpaksa dihentikan atas sebab keselamatan serta halangan dari penduduk.

“Untuk kali ketiganya perobohan tujuh lagi premis berjaya diteruskan pada 7 Mac 2019 dan premis terakhir akan dirobohkan dalam tempoh terdekat, ” jelas Abdul Malik yang juga merupakan mantan Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.