Isu tapak pelupusan Bukit Payong ke Suhakam

Isu tapak pelupusan Bukit Payong ke Suhakam
Khairuddin (dua dari kiri) bersama wakil penduduk menyerahkan memorandum kepada wakil Suhakam Ahmad Zaidi Baharuddin di ibu pejabat Suhakam.

Isu pembinaan tapak pelupusan Bukit Payong, Batu Pahat Johor telah dibawa ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) oleh wakil penduduk tempatan.

Delegasi yang diketuai oleh Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim itu dalam pada lain menghantar memorandum untuk memindahkan tapak pelupusan sampah tersebut ke tempat lain.

Menurut Khairuddin, perkara ini perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan agar ketenteraman pihak penduduk kampung terjamin.

“Seramai 26,000 penduduk sekeliling Bukit Payong dan terdapat 18 buah kampung tradisi dan dua taman perumahan akan terjejas teruk dengan pembinaan tapak pelupusan tersebut. Paling ketara adalah Kampung Kangkar Merlimau kerana ia merupakan kampung yang terdekat dengan tapak tersebut.

“Selain itu terdapat 9 buah sekolah yang ada di sekeliling tapak berkenaan dan 3 kilang industri makanan turut berada di situ.

“Kekhuatiran lain adalah seperti nilau dan guna tanah sekeliling tapak tersebut akan jatuh sekiranya pusat pelupusan sampah yang besar di situ memulakan operasinya,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, persoalan berkenaan Bukit Payong yang menjadi lokasi tumpuan dalam aktiviti lasak, mendaki, rekreasi dan juga tapak sejarah turut dibangkitkan dalam pertemuan dengan pihak Suhakam.

“Terdapat air terjun yang cantik mampu menarik perhatian pengunjung yang mahu menikmati keindahan alam di Bukit Payong.

“Selain tarikan pengunjung pada keindahan flora dan faunanya, Bukit Payong juga telah dipastikan mempunyai khazanah purba seperti fosil-fosil sejarah yang telah pun dipastikan sah oleh universiti tempatan.

“Khazanah ini akan pudar sekiranya tapak pelupusan sampah mahu dibina di situ dan ia akan membunuh segala keindahan serta tarikan ke kawasan tersebut.

“Dalam laporan yang diterima terdapat sebanyak 3,600 metrik tan sisa buangan setiap hari yang akan dihantar ke pusat tersebut apabila siap sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Antara wakil penduduk yang hadir adalah, Abu Bakar Azmi, Nazreen Abd Samad dan Rafe Ramli.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada pegawai Suhakam dan pihaknya turut berjanji untuk menyiasat perkara tersebut ke tapak berkenaan.