Isu tatasusila dan sosial jadi pertimbangan, ini tindakan RTM terhadap pelakon bermasalah

Oleh WAN SITI AMINAH

Tayangan drama membabitkan pelakon yang sedang hangat diperkatakan ketika ini akan ditangguhkan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman memberitahu, penangguhan itu telah dimaklumkan oleh pihaknya kepada penerbit drama tersebut.

Jelasnya, isu tatasusila dan sosial pelakon sentiasa menjadi pertimbangan sebelum mereka dipilih membintangi drama yang ditayangkan di stesen televisyen berkenaan.

Malah semua pembekal drama tempatan juga sudah sedia maklum dalam memastikan tiada isu sensitif seperti ini mencemari karya terbitan mereka, lapor Harian Metro.

“Saya tidak mahu menamakan mana-mana pelakon. Cuma apa boleh dikatakan, isunya sedang menjadi perbualan sekarang. Saya sudah menghubungi penerbit drama itu, memaklumkan RTM akan menangguhkan siaran dramanya.

“Perkara sebegini sudah lama dibincangkan dengan semua pembekal drama yang mana kena pastikan tidak ada masalah sensitif seperti tatasusila dan sosial. Malah, penerbit pun sudah sedia maklum. Kenapa kita berbuat demikian?

“Sebab apabila drama ditayangkan, mereka menjadi ‘role model’ kepada masyarakat. Pihak stesen juga perlu buat promosi dan atur sesi temu bual bersama wartawan. Pada ketika itu nak jawab apa?,” katanya memetik Harian Metro.

Dalam masa yang sama, Datuk Suhaimi memaklumkan bahawa RTM tidak mahu mengenakan tindakan gam ataupun ‘banned’ terhadap pelakon yang bermasalah.

Sebaliknya stesen televisyen terbabit akan mengguna pendekatan yang lebih halus dengan memberikan rawatan psikologi, jiwa dan khidmat profesional kepada mereka.

“Kita percaya sekiranya seseorang itu bermasalah, dia kena mendapat pertolongan. Jangan masa artis itu sedang popular dia disanjung, tetapi apabila ada masalah dia dibuang.

“Kita tidak tahu sama ada dia memiliki masalah jiwa atau psikologi yang memerlukan bantuan. Kita kena terima hakikat yang mana dalam dunia hiburan ini, apa saja boleh berlaku.

“Dalam perkara sebegini, kita punya pendirian kena bantu dan bukan sisihkan. Soal nak gam ini takkan boleh selesaikan masalah. Jangan bunuh kerjaya seseorang artis itu.” Ulasnya.

Menurut Datuk Suhaimi, siaran drama tersebut akan ditangguhkan sehinggalah dia benar-benar mendapatkan rawatan profesional dan berubah ke arah yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, situasi ini berbeza sekiranya pelakon terlibat dalam salah laku jenayah di mana perkara tersebut sememangnya tidak boleh lagi dipertimbangkan.

Baca juga: Terkejut tiada bekalan elektrik dan air, pelancong anggap hotel di Singapura paling teruk