Malaysia Dateline

Isu tebang habis buat ‘ladang hutan’: Dakwaan kerajaan negeri Kelantan konon penyumbang terbesar keluasan hutan dipertikai

Selepas Husam Musa membangkitkan persoalan mengenai kelulusan pembalakan tebang habis secara berleluasa di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan atas nama Program Ladang Hutan termasuk ladang durian, giliran aktivis juga tampil bersuara.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman dalam reaksinya membidas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud yang disiarkan menerusi Facebook rasmi Pas Kelantan.

Beliau antara lain mempertikai dakwaan Asri kononnya Kelantan menjadi antara penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara.

“Admin Pas Kelantan / saudara Mohd Asri perlu memperbetulkan fakta dan jangan mengelirukan umum bahawa keluasan dan peratus HSK negeri Kelantan adalah penyumbang terbesar keluasan HSK di Semenanjung Malaysia sedangkan keluasan HSK yang terbesar ialah negeri Pahang manakala peratus keluasan HSK yang terbesar ialah negeri Perak (46.70 peratus),” tegasnya.

Meor Razak

Ikuti kenyataaan penuh Meor Razak berhubung isu kemusnahan tahap kritikal hutan simpan kekal di Kelantan:

Admin PAS Kelantan / Saudara Mohd Asri Mat Daud,

Pertama, saya hendak kemuka soalan. Sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan serius dan cakna tentang pengurusan hutan secara mampan dan berkekalan, mengapakah pensijilan pengurusan hutan (Skim Pensijilan Kayu Balak Malaysia – MTCS) bagi Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan digantung sejak 2016 sehingga sekarang.

Sila rujuk: https://mtcc.com.my/suspension-of-forest-management…/

Kedua, mengapakah surat yang telah dikemuka oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) kepada YAB Menteri Besar melalui tangan kepada Setiausaha Sulit Khas kepada YAB Menteri Besar bertarikh 25 Mac 2015 dan memorandum berkaitan semasa pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan bertarikh 1 November 2016 tidak diberi maklum balas walau sepatah perkataan.

Ketiga, hampir 28 peratus daripada keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Kelantan telah dizonkan untuk tujuan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan).

Itu belum diambil kira keluasan untuk tujuan perlombongan / pengkuarian, pertanian dan lain-lain tujuan dalam HSK.

Pelaksanaan pembangunan ladang monokultur, perlombongan / pengkuarian, pertanian dan lain-lain tujuan dalam HSK menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis.

Keempat, penanaman spesies Durian ‘Musang King’ di kawasan pembangunan zon ladang hutan adalah bercanggah dan tidak mematuhi Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Pembalakan di Kelantan dilihat abai kepentingan zon penampan. Gambar: Pauh Putit

Untuk makluman admin PAS Kelantan / Saudara Mohd Asri, konsep ladang itu sebenarnya bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi.

Ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar yang dipenuhi tanaman manakala hutan pula terbentuk secara semula jadi oleh tumbuh-tumbuhan serta mempunyai kepelbagaian hayat yang tinggi dan melakukan pelbagai fungsi ekologi.

Kebiasaannya, justifikasi dan alasan utama Kerajaan Negeri meluluskan projek pembangunan ladang monokultur ialah kerana kawasan yang dikenal pasti ditakrifkan sebagai hutan miskin atau hutan terosot.

Perlu diketahui bahawa sesuatu kawasan HSK di Malaysia menjadi hutan miskin atau hutan terosot bukan disebabkan oleh faktor semula jadi tetapi disebabkan oleh faktor manusia terutama kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian lapangan SAM, didapati kebanyakan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dilakukan tanpa kawalan dan tidak mematuhi syarat-syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) walaupun Kerajaan Negeri yang berkenaan mengakui mempunyai ‘standard and operating procedure’ dan diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Admin PAS Kelantan / saudara Mohd Asri perlu memperbetulkan fakta dan jangan mengelirukan umum bahawa keluasan dan peratus HSK negeri Kelantan adalah penyumbang terbesar keluasan HSK di Semenanjung Malaysia sedangkan keluasan HSK yang terbesar ialah negeri Pahang manakala peratus keluasan HSK yang terbesar ialah negeri Perak (46.70 peratus).

Kerajaan Negeri Kelantan juga perlu mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 pada Disember 2021 yang memutuskan Pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia serta Mesyuarat MTN ke-70 pada tahun 2014 yang menggesa semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuariaan dalam HSK.

Dasar yang menggalakkan pembangunan ladang monokultur dalam HSK perlu diperhalusi semula dan sebaiknya tidak digalakkan dalam kawasan berstatus HSK kecuali di kawasan berstatus tanah kerajaan atau tanah milik terbiar.

Malah, Kerajaan Negeri Kelantan disaran supaya mematuhi dan mengguna pakai pelan perancangan fizikal (rancangan pemajuan) terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD), Pelan Induk ‘Central Forest Spine’ dan lain-lain dasar berkaitan kesejahteraan alam sekitar /pemeliharaan biologi.

Setiausaha Khas kepada YAB Menteri Besar Kelantan sedang melihat sekali lalu surat yang dikemuka tetapi hingga kini sepatah perkataan pun masih tidak mendapat maklum balas.
Aktivis mendedahkan banyak kawasan seperti HSK Sungai Durian, HSK Sungai Rek, HSK Lebir sudah jadi ladang yang dibimbangi memusnahkan habitat haiwan liar yang sudah sedia terancam.

Ini pula penjelasan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud pada 29 Mac lalu mengenai projek di HSK Kelantan yang kemudiannya mengundang reaksi Meor Razak:

1. YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar mengambil maklum mengenai persoalan-persoalan yang dikeluarkan melalui saluran laman sesawang “facebook” di bawah akaun pengguna yang bernama ‘Husam Musa’ berkaitan aktiviti penanaman spesis durian di Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian oleh Li Yongbo seluas 2,200 ekar.

Dakwaan yang dikeluarkan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk memberikan imej yang tidak baik terhadap pihak Kerajaan Negeri Kelantan dalam suasana politik masa kini.

2. Isu yang dilontarkan oleh Datuk Husam Musa adalah melibatkan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian yang berkeluasan 17,420 hektar.

Untuk makluman, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpanan Kekal Sungai Durian merupakan Zon Pembangunan Ladang Hutan. Kerajaan Negeri sebelum ini telah memberi kelulusan kepada dua syarikat masing-masing bertarikh pada 07 Mei 2015 dan 15 April 2018 untuk pembangunan Projek Ladang Hutan Getah Klon Balak (TLC).

3. Pada 21 Mei 2020, Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan permohonan Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis kepada Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian. Kelulusan tersebut adalah dengan menetapkan keluasan penanaman spesis durian yang dibenarkan hanya 30% daripada 350 hektar dan 404 hektar daripada keluasan yang diluluskan kepada dua syarikat tersebut.

4. Syarikat berkenaan telah melantik kontraktor yang telah mengusaha penanaman Musang king dan Li Yongbo hanyalah membuat pelaburan dalam kontraktor tersebut. Begitu juga sebagaimana berita tular berkaitan Li Yongbo pada tahun 2018 adalah melibatkan pelaburan yang dibuat pada ketika itu melalui kontraktor yang sama. Dengan itu, penglibatan Li Yongbo adalah tiada kaitan sama sekali dengan keputusan kelulusan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk projek tersebut.

5. Manakala, persoalan yang melibatkan Ladang Musang King seluas 7,500 ekar sebagaimana tulisan Datuk Husam adalah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bahawa Ladang Musang King tersebut melibatkan tanah persendirian bukannya Hutan Simpan Kekal ataupun tanah kerajaan.

6. Rakyat Kelantan sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan telus dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi terutama hutan.

Sehingga kini, kawasan berhutan di Kelantan adalah 51% yang meliputi kawasan seluas 767,202.50 hektar daripada keluasan tanah Negeri Kelantan.

Keluasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan adalah 629,880.95 hektar bersamaan dengan 42% dari keluasan tanah negeri sekaligus menjadi antara penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/isu-hutan-simpan-dan-musang-king-husam-jawab-kenyataan-media-pejabat-mb-kelantan/

Baca juga: https://themalaysialife.com/harga-makanan-ipt-melonjak-naik-selepas-mula-fasa-endemik/