Malaysia Dateline

Isu tekanan belajar, KPT perlu sedar tanggungjawab

Berita kematian pelajar bukanlah baru bermula, apatah lagi meninggal disebabkan tekanan perasaan.

Malahan menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan (NHMS) 2017, dalam 5.5 juta anak muda, seorang daripada lima mereka mengalami kemurungan, manakala seorang dari 10 anak muda direkodkan mengalami tekanan perasaan.

Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Zamirul Nur Hakim dalam satu kenyataan beliau berkata, kematian dua penuntut UiTM iaitu Nurul Natasya Ezreen Azemi dan Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini yang dilaporkan meninggal dunia di kediaman masing-masing adalah akibat tekanan yang melampau.

“Sebagai pelajar akhir UiTM, saya punya hak untuk ceritakan pengalaman bergelar mahasiswa di universiti berprestij ini sebagai calon Ijazah Sarjana Muda selama tiga tahun dan ia merupakan sesuatu yang amat berharga.

“Staf akademik dan bukan akademik, pensyarah dan pegawai di semua fakulti berkhidmat dengan baik dan mesra pelajar. Saya menyaksikan para pensyarah tidak pernah jemu bercakap soal kebajikan dari tahun pertama sehinggalah ke tahun akhir, semuanya dibincang dan diminitkan.

“Lebih prihatin terdapat pensyarah yang bungkuskan sendiri semua makanan asas buat para pelajar mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1. Itulah yang saya nampak suatu realiti penuntut dan pensyarah hinggakan saya terlupa universiti ini diselia sepenuhnya oleh kementerian,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, apakah tindakan Menteri Pengajian Tinggi dalam keadaan seperti sekarang ini.

“Adakah ingin terus mendiamkan diri dan segala-galanya dipertanggungjawabkan kepada pihak universiti ataupun segera menyedari peranan dan tindakan yang perlu dilakukan?,” soalnya.

Zamirul berkata, adalah lebih baik jika tarikh semester yang akan datang ditangguhkan bagi memberi tempoh bertenang untuk pelajar mahupun tenaga pengajar.

Beliau turut menyarankan agar peluang cuti semester digunakan bagi mengadakan online Town-Hall bersama gerakan pelajar di seluruh negara.

Namun begitu luahnya, kerajaan kini adalah sebuah kerajaan yang gagal, derhaka pada Majlis Raja-Raja Melayu, sibuk mengejar kuasa hingga mengakibatkan kematian dua pelajar pada tahun ini yang dianggap seolah-olah satu kes biasa sedangkan warga UiTM telah melaksanakan yang terbaik bagi penuntutnya.