Isu tender projek balak: Azmin sekali lagi terbukti menipu, dakwa Chegubard

Isu tender projek balak: Azmin sekali lagi terbukti menipu, dakwa Chegubard

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

‘Perang’ antara anggota seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Azmin Ali dilihat semakin panas susulan reaksi pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) kelmarin berhubung isu tender terbuka projek balak.

Chegubard berkata, kenyataan Pengarah JPNS, Dr Mohd Puat Dahalan mengenai tiadanya tender terbuka dalam projek balak terbabit sekali lagi membuktikan Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berbohong.

“Maka timbul persoalan, berapa lagi projek puluhan juta tanpa tender terbuka?” ujar beliau dalam kenyatannya hari ini sambil merakamkan simpati kepada pihak JPNS kerana disifatkan “terpaksa menjadi pencuci kepada kesalahan ahli politik”.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai cara Azmin yang menyerangnya dengan kata-kata kesat di media bagi menyatakan projek balak yang dimaksudkan diberi secara tender terbuka.

“Azmin menyebut dia tidak terlibat dalam sebarang proses meluluskan atau memilih syarikat untuk projek balak di Selangor.

“Apa kriteria pemilihan sebuah syarikat ‘enterprise’ yang mempunyai bidang kerja rojak termasuk kutip sampah, bekal alat tulis, bekal pakaian dan macam-macam lagi yang tidak kena mengena dengan pembalakan dapat kerja membalak nilai puluh juta?” bidasnya.

Mengulas reaksi Dr Mohd Puat itu lagi, Chegubard yang juga Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menganggap pegawai kerajaan negeri itu mungkin dalam keadaan tertekan dan dalam keadaan terpaksa untuk menjawab.

“Oleh kerana itu dalam kenyataan perenggan akhir, dia memerli hina kerajaan negeri seolah-olah ‘rubber stamp’ dan konon menerima sahaja cadangan pegawai kerajaan.

“Namun perlu diteliti perenggan kelapan kenyataan tersebut yang jelas menyatakan Lesen Mengeluar hasil hanya dikeluarkan selepas kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (mesyuarat Exco).

“Persoalannya sekarang, siapa yang mempengerusikan mesyuarat Exco? Dan dari kenyataan tersebut juga dinyatakan bahawa agihan projek balak yang dimaksudkan tidak melalui tender terbuka,” tegas Chegubard lagi yang pernah menjadi Ketua Cabang Rembau.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa sebelum ini pernah mencabar Chegubard supaya tidak ‘menyalak’ kepada pihak media sebaliknya mengemukakan bukti berkenaan projek pembalakan di Selangor itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain kontroversi projek balak, Chegubard turut membongkar pembaziran projek ubah suai ringan (facelift) gerbang Kota Darul Ehsan dengan belanja mencecah RM9.7 juta serta projek menukar kubah dan pejabat Masjid Shah Alam yang menelan kos sebanyak RM65.7 juta.

Azmin juga diselubungi isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang dimiliki sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan tumpuan kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan.

Balak seluas 79 hektar habis dibawa keluar

Sementara itu, Dr Mohd Puat dalam kenyataannya, 23 Februari lalu antara lain berkata, pemilihan Hutan Simpanan Kekal (HSK) untuk sebarang projek berkepentingan umum adalah langkah yang terakhir.

Memberi contoh penetapan laluan bagi jajaran TNB Tapah-Bentong yang membabitkan kawasan dalam daerah Hulu Selangor, ujarnya, keputusan dipinda beberapa kali bagi mengelak penggunaan kawasan HSK yang berlebihan.

Menurut beliau lagi, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor (JKPPNS) sebagai langkah penambahbaikan bagi membuat penilaian secara telus ke atas permohonan lesen, permit atau melaksanakan saringan serta penelitian bagi sebarang projek berkaitan perhutanan selaras dasar kerajaan negeri Selangor pada masa ini.

Turut menjelaskan perkembangan pengeluaran kayu balak dan jaras di HSK ekoran projek jajaran talian penghantaran elektrik, Dr Mohd Puat berkata, status kemajuan kerja terbabit dari Mahkota Cheras Hartamas ke PMU Mahkota Cheras seluas 45 hektar mencapai 100 peratus kemajuan.

Bagi projek dari PMU Bukit Tarek ke PMU Chubadak merangkumi 34 hektar sehingga November tahun lalu, ujarnya lagi, pula mencapai hampir 100 peratus kemajuan.

TAGS