Malaysia Dateline

Isu teroka hutan secara haram di Pahang: Khaidir dipanggil polis

Bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad berkata, beliau menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong yang memintanya hadir untuk dirakamkan keterangan.

Menurutnya, apabila ditanya keterangan bagi kes apa, pihak polis memberitahu Pejabat Tanah Bentong sudah membuat laporan polis berhubung laporan bersiri isu pembukaan tanah haram.

Aktivis itu berpendapat laporan polis itu sekaligus akan “memaksa” beliau berkongsi lokasi tanah haram Musang King di Bentong yang dibongkarnya sebelum ini.

Terdahulu, jelasnya, beliau enggan berkongsi lokasi tersebut apabila diminta oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Tanah Bentong.

Khaidir berkata, beliau hanya berkongsikan maklumat berkenaan lokasi itu jika Menteri Besar Pahang dan Pegawai Daerah Bentong sanggup turun padang bersamanya meninjau lokasi tersebut.

“Ini bukanlah kali pertama Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Pahang menggunakan polis untuk “memaksa“ saya berkongsi lokasi kes penerokaan hutan secara haram yang berpunca daripada rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

“Pada tahun 2007, ketika saya bertugas sebagai Pengurus Berita TV3 Wilayah Timur dan sering membongkar kegiatan pembalakan haram, PBN Pahang juga menggunakan kaedah yang sama terhadap saya.

“Malah, ketika itu “ugutannya” lebih dahsyat apabila nama Sultan Pahang ketika itu turut digunakan bagi menakut-nakutkan saya supaya menghentikan segera pembongkaran itu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Khaidir sebagai anak jati Pahang menegaskan isu yang diketengahkan beliau tidak harus disembunyikan sebaliknya memerlukan penyelesaian bagi mengelak kegusaran rakyat.

“Inilah negeri saya, Tanah Melayu Pahang yang kuasa politik dan pentadbirannya dikuasai oleh orang Melayu yang sebangsa dengan saya.

“Mereka lebih berminat untuk “menutup atau menyorok isu” dengan cara menghentikan “penyampaian atau pendedahan isu” berbanding untuk menyelesaikan isu sebenar yang menjadi kebimbangan rakyat marhaen,” keluhnya.

Beliau juga tertanya-tanya bilakah Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Pahang mahu menggunakan kuasanya sendiri yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara untuk mengheret peneroka tanah haram ke mahkamah.

Khaidir berpendapat PBN Pahang juga seharusnya merampas semula kesemua tanah hutan simpan kerajaan negeri yang sudah diteroka secara haram sebelum ini.

“Janganlah nanti orang yang melaporkan kesalahan dikenakan tindakan tetapi orang yang melakukan kesalahan dibiarkan begitu sahaja!” tegasnya lagi.