Isu THP: Pemuda Umno dipersoal mengapa dulu tak mahu bersuara

Isu THP: Pemuda Umno dipersoal mengapa dulu tak mahu bersuara

Adun Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil mempersoalkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak pernah bersuara  sewaktu hutang Tabung Haji Plantations (THP) dikatakan sudah melonjak di zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Tindakan dua pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak yang mempertikaikan isu penjualan aset THP, turut dipersoalkan kerana cuba mengelirukan rakyat untuk menutup kelemahan syarikat milik Tabung Haji (TH) yang sebenarnya telah bermula di bawah kerajaan terdahulu.

Malah, dua pemimpin pembangkang itu dibidas tatkala masing-masing dikatakan berdiam diri sepanjang jumlah hutang THP melonjak naik sebanyak hampir 1,175 peratus dalam tempoh 2009 hingga 2018.

“Mengikut laporan kewangan THP di Bursa Malaysia, jumlah hutang THP meningkat mendadak dari hanya RM97.23 juta pada 31 Disember 2009, kepada RM1.24 bilion pada 31 Disember 2018.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah syarikat itu hanya mempunyai jumlah tunai dan kesetaraan tunai sebanyak RM51 juta setakat 31 Disember 2018, walaupun jumlah hutang jauh lebih tinggi iaitu RM1.24 bilion.

“Peningkatan jumlah hutang menyebabkan kenaikan bayaran faedah yang perlu dibayar oleh THP, yang seterusnya menjejaskan kedudukan kewangan syarikat tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, berkata, dari Mac 2012 sehingga 7 Mei 2018, harga saham THP jatuh hampir 72 peratus daripada RM2.46 seunit saham kepada hanya 70 sen.

Jelasnya, ini menyebabkan Lembaga Tabung Haji yang memegang mandat orang Melayu Islam khususnya pendeposit TH, rugi dalam tempoh 6 tahun tersebut oleh kerana ia mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 74 peratus dalam THP.

Menurut Faiz lagi, rancangan menjual aset THP juga sudah dibincangkan sejak tahun 2016, di mana pihak pengurusan THP ketika itu memahami keperluan mengurangkan beban hutang syarikat tersebut.

“Barangkali Asyraf Wajdi yang merupakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu tidak peka masalah kewangan yang dihadapi TH Plantations.

“Dakwaan Asyraf berkenaan perubahan nilai buku dua aset THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisanmas Sdn Bhd yang dijual kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd dari RM380 juta pada tahun 2017 kepada RM170 juta adalah mengelirukan,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana ia telah diterangkan dalam Laporan Tahunan 2018 THP bahawa perubahan nilai buku berkenaan berkait dengan aspek perakaunan.

“Misalnya, nilai buku yang baharu mengambil kira kos penanaman semula pokok baharu di estet sebelum tempoh 30 tahun, berbanding tahun-tahun sebelum ini di mana kos berkenaan tidak dimasukkan ke dalam pengiraan nilai buku aset.

“Pihak pengurusan THP yang berpengalaman sedang berusaha untuk mengembalikan THP ke arah kedudukan kewangan yang utuh.

“Saya percaya tiada unsur jenayah atau salahguna kuasa berlaku dalam proses penjualan aset TH Plantation ini kerana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Mujahid Yusuf tiada apa-apa kepentingan peribadi ke atas proses ini,” ujarnya.

Faiz turut menegaskan seharusnya keputusan korporat yang dilakukan oleh pihak pengurusan THP tidak dipolemikkan oleh kerana keputusan tersebut sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) membersihkan kepincangan urus tadbir kewangan di zaman pentadbiran Bn dahulu.