Malaysia Dateline

Isu tiada rekod pelancong China tinggalkan negara: Iltizam PN tangani unsur rasuah diragui

Perikatan Nasional (PN) tidak diyakini mampu membersihkan unsur rasuah seperti telah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu tiada rekod pelancong China meninggalkan negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al-Jundi berkata, majoriti yang mengisi pentadbiran kerajaan tebuk atap pada masa ini juga berada dalam kerajaan BN kira-kira 17 tahun lalu.

“Iltizam PH memberi fokus kepada melawan dan membersihkan pelbagai elemen rasuah adalah tepat, dan ia perlu kita teruskan without fear and favour.

“Saya tidak percaya ini mampu dilakukan dan diterus oleh Kerajaan PN, yang majoriti mereka merupakan pemain-pemain politik era rejim dan punya kuasa pada tahun 2003 tersebut, tetapi ternyata gagal melakukan penambahbaikan yang sewajarnya dan diharapkan oleh kita semua,” katanya.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional itu menegaskan isu keengganan warga asing China meninggalkan negara ini adalah isu keselamatan dan kedaulatan negara.

“Ia tentu melibatkan ramai pihak di dalam, dan bukan hanya satu agensi penguatkuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelasnya, hanya semasa era pentabiran PH, khususnya pada November tahun lalu, Imigresen telah diarahkan membuat operasi besar-besaran bagi menjejaki pelancong-pelancong China yang gagal kembali ke negara asal mereka.

“Tahun 2003 sahaja, dilaporkan sebanyak 500,000 (warga China) datang ke negara ini, tetapi hanya 315,000 mereka yg pulang ke negara asal.

“Baki 175,000 orang masih berada dalam Malaysia. Itu hanya satu rekod iaitu pada tahun 2003. Ada banyak lagi,” ulas Athirah lagi.

Kelmarin, bekas Bendahari MCA Datuk Seri Chuah Poh Khiang menggesa kerajaan PN membuka semula pintu negara kepada pelancong perniagaan dari rakan dagang serantau secara berperingkat termasuk China.

Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia itu berkata, langkah tersebut penting bagi menjana semula perdagangan dan pelaburan luar negara dalam persekitaran ekonomi domestik yang lembap.

Walau bagaimanapun, gesaan Poh Khiang itu dianggap berbahaya untuk keselamatan dan kedaulatan negara ekoran pendedahan ratusan ribu pelancong China yang terus ‘bermastautin’ di negara ini.