Malaysia Dateline

Isu timbalan menteri nikah ‘online’: Imam Narathiwat digantung tugas 6 bulan

Imam masjid sebuah kampung di Sungai Golok yang dipercayai menjalankan akad nikah individu didakwa timbalan menteri telah digantung tugas buat sementara waktu.

Perkara itu dimaklumkan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat melalui Timbalan Yang Dipertuanya, Abdul Aziz Che Mamat.

Abdul Aziz berkata, penggantungan tugas imam berkenaan berkuat kuasa selama enam bulan bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atasnya.

“Imam berkenaan berusia 65 tahun, kita gantung tugasnya selama enam bulan bermula bulan Jun lepas. (Ia) selepas majlis akad nikah berkenaan, kita kenakan tindakan gantung tugas,” katanya dipetik Astro Awani.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya akan memanggil semua imam di sempadan Malaysia-Thailand melibatkan daerah Sungai Golok dan Buketa, yang bersempadan dengan Kelantan dalam masa terdekat.

“Ia bertujuan untuk memberikan penerangan berhubung ketetapan Majlis Agama Islam Narathiwat yang tidak mengiktiraf pernikahan secara dalam talian,”kata beliau.

Media pada 4 Julai melaporkan, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat akan menjalankan siasatan berhubung isu majlis akad nikah berkenaan.

Beliau mengulas mengenai satu rakaman pernikahan melalui telefon yang didakwa membabitkan seorang Ahli Parlimen di negara ini berserta dua saksi, yang tular di media sosial.

Rakaman video dan salinan sijil nikah yang tular itu turut mendapat kritikan ramai kerana individu itu didakwa melangsungkan pernikahan sewaktu rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 6 Julai, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi memohon maaf sekiranya isu akad nikah secara dalam talian yang dikaitkan dengannya, menyinggung perasaan mana-mana pihak.