Isu tukar agama anak: ‘Mungkin Yb itu keliru’

Oleh KIM SYAZIE

Saya terbaca kenyataan seorang Ahli Parlimen parti ehem yang menjadi Timbalan Menteri Agama dalam Gomen tebuk atap mengenai isu terbaru berkaitan kes tiga kanak- kanak yang ditukar agama dan dibawa ke Perlis.

Antara lain, YB ini berkata bahawa pihak-pihak kena hormat undang-undang negeri berkaitan isu pertukaran agama.

Jujurnya, saya tidak begitu pasti penguasaan beliau tentang undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan atau juga keputusan-keputusan mahkamah mengenai kes-kes yang berkaitan pertukaran agama.

Dengan hormat, menyedari dia tidak mempunyai latarbelakang undang-undang, mungkin sahaja dia agak keliru tentang status kedudukan undang-undang negeri dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Dengan hormat, bagi saya, pandangan beliau bukan sahaja tidak benar malahan amat tersasar.

Untuk makluman YB itu, negara ini mengamalkan doktrin ketinggian Perlembagan ( the supremacy of constitution ).

Dan sebagai Ahli Parlimen merangkap timbalan menteri walaupun dalam sebuah kerajaan yang tidak pernah ada mandat rakyat, dia wajib mengangkat sumpah untuk menghormati dan melindungi ketinggian Perlembagaan.

Saya tidak pasti sejauh mana dia sedar hal tersebut.

Dalam Perlembagaan, misalnya, hatta undang-undang negeri (state law) tidak boleh mengatasi undang-undang persekutuan (federal law). Boleh lihat Artikel 75 Perlembagaan Persekutuan.

Dan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, kedua-dua undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan pula tidak boleh mengatasi ketinggian Perlembagaan Persekutuan – lihat Artikel 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selagi mana-mana parti politik masih memilih untuk berpolitik dalam kerangka Perlembagaan negara, pada hemat saya, amat tidak wajar mereka cuba beroperasi di luar kerangka Perlembagaan. Perlembagaan sebagai kontrak sosial wajar dihormati.

Adalah tidak adil juga jika dalam keadaan tertentu, ada pihak yang hanya menjadikan Perlembagaan sebagai pelindung mereka selagi mana dokumen tersebut dilihat memihak dan melindungi kepentingan mereka dan mengenepikan dokumen tersebut bila dokumen itu pula dilihat tidak menyokong kepentingan mereka.