Malaysia Dateline

Isu tukar Exco Perak: Bincang cadangan dengan PKR Pusat

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan mengenai pertukaran Exco kerajaan negeri daripada PKR negeri perlu dibawa dalam perbincangan pucuk pimpinan parti itu dan bukannya melalui pemimpin di peringkat negeri.

Beliau berkata, nama yang dicadangkan oleh pimpinan PKR pusat itu kemudian akan diberikan kepadanya untuk dibuat pertimbangan.

Bagaimanapun jelasnya, beliau sentiasa terbuka dalam mendengar sebarang cadangan yang diberikan semua pihak.

“Kalau pun ada cadangan-cadangan (pertukaran Exco), tentunya ia akan dibawa dalam perbincangan Majlis Pakatan Harapan.

“Jika ada perubahan yang hendak dibuat, mereka boleh cadangkan dan saya akan pertimbangkan nama yang diberikan oleh pucuk pimpinan PKR sendiri.

“Semasa saya bertanding dalam Pakatan Harapan menggunakan logo PKR, saya juga menerima watikah daripada Presiden PKR.

“Jadi, untuk memilih calon dan pertimbangkan nama untuk dipersembahkan kepada baginda sultan, ia perlu melalui pucuk pimpinan parti dan bukannya pemimpin negeri,” ujarnya berhubung cadangan bagi pertukaran seorang Exco kerajaan negeri daripada PKR.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Townhall Maqasid Syariah yang dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Exco tersebut dikatakan bukan sahaja menunjukkan prestasi kurang memuaskan malah didakwa mengabaikan tanggungjawab kepada parti.