Malaysia Dateline

Isu tulisan Jawi, orang politik digesa henti burukkan keadaan, saran MDN

Parti dan pihak berkaitan politik digesa menghentikan polemik tulisan Jawi buat seketika, bagi memberi ruang kepada badan bebas, ahli akademik dan pejuang budaya serta sosial berbincang dan mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, berkata kenyataan dan perbincangan berkaitan tulisan jawi yang dibuat orang politik sebelum ini, hanya memburukkan keadaan dan mengeruhkan hubungan antara kaum kerana ia didasari sentimen politik kepartian.

“Tulisan Jawi kini menjadi isu panas dalam negara dan ramai pihak berminat dalam perkara ini, namun dalam banyak keadaan, ia bukan perbincangan yang membantu mengatasi masalah, sebaliknya meluaskan jurang antara kaum.

“Penyelesaian masalah tulisan Jawi bukan dengan cara sekarang menerusi kenyataan politik dilakukan pelbagai pihak.

“Apabila politik kepartian digunakan untuk menyelesaikan masalah nasional, maka ia terdedah kepada pihak yang mahu merebut keuntungan politik hingga berlaku kekacauan, sedangkan masyarakat yang menanggung bebannya,” katanya pada sidang media di pejabat MDN seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini

Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majiid (duduk tiga dari kiri)  bersama wakil dari beberapa agensi kerajaan  dan syarikat swasta, NGO yang hadir dalam mesyuarat meja bulat bagi tujuan melaksanakan gerak kerja memperkukuhkan tuisan jawi dalam masyarakat di negara ini.

Mengulas lanjut, Mahmood Zuhdi meminta kumpulan politik memberi ruang kepada inisiatif MDN yang akan mengadakan persidangan meja bulat pada 18 Februari depan untuk merungkai polemik tulisan jawi.

Persidangan meja bulat itu akan dihadiri lebih 22 badan kerajaan, separuh kerajaan, universiti, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Melayu dan Islam serta individu perseorangan dalam kalangan pejuang akademik, budaya dan sosial.

“Matlamat utama persidangan adalah untuk mendengar hasrat masyarakat apa yang mereka mahu daripada tulisan Jawi, atau adakah ia sekadar ribut dalam cawan demi mendapatkan keuntungan politik oleh pengadu domba,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan bersama wakil 22 kumpulan berkenaan  yang  bersetuju membentuk satu jawatankuasa pemandu bagi merancang penubuhan sekretariat tetap bermatlamat memperkukuh kedudukan tulisan Jawi di negara ini.

“Dalam perbincangan pagi tadi, kita setuju masalah tulisan Jawi adalah masalah orang Melayu dan Islam, bukan perlu dikongsi dengan orang lain. Jadi orang Melayu sendiri yang perlu selesaikannya.

“Ia bukan soal tulisan Jawi dijamin dalam Perlembagaan, tetapi isu sebenar adalah orang Melayu sendiri tidak menggunakan warisan mereka ini hingga ia dibiar terbengkalai begitu saja.

“Disebabkan itu, persidangan meja bulat ini tidak membabitkan wakil kaum lain. Namun, kita harap kaum lain khususnya Cina dan India membuat perkara sama dengan MDN untuk membincangkan isu ini dalam kalangan mereka, sebelum kita menyelesaikannya secara bersama,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan wajar menangguhkan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan sementara menunggu perbincangan rundingan meja bulat itu, Mahmood Zuhdi berkata, mereka tidak mencampuri perkara itu buat masa ini.