Malaysia Dateline

Timbalan Penasihat Amanah, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin

Isu tulisan Jawi: Sesi dialog wajar diadakan, medan meyakinkan kaum Tiong Hua

Sesi dialog bersama kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong berhubung tulisan Jawi dilihat wajar diadakan sebagai medan untuk meyakinkan golongan itu.

Timbalan Penasihat Umum, Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Ustaz Abdul Ghani Samsudin berkata, meyakinkan itu adalah dalam konteks bahawa huruf-huruf Jawi adalah budaya yang memang sangat berkait dengan budaya orang Melayu.

“Sebelum ini Bahasa Melayu adalah dalam huruf Jawi. Oleh kerana tulisan Jawi ini juga menjadi kesukaaan orang Melayu, maka baguslah orang Cina mempunyai pengetahuan tentang Bahasa Jawi supaya mereka tidak melakukan kesilapan.

“Jadi, dialog untuk meyakinan mereka itu wajar diadakan dan kalau mereka tidak mahu yakin, mereka harus bersedia menerima bahawa kerajaan ini adalah kerajaan orang Islam.

“Kalau kerajaan orang Islam dan Melayu mereka tidak boleh terima, itu dia kena fikir sendiri,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Ustaz Abdul Ghani mengulas demikian ketika ditanya mengenai keperluan mengadakan sesi dialog atau forum ke atas pemimpin Dong Zong atau mana-mana NGO bukan Islam dalam isu yang membabitkan agama Islam itu sendiri.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Ghani menyifatkan pembelajaran huruf-huruf Jawi tidak mempunyai kaitan dengan usaha untuk memasukkan seseorang ke dalam agama Islam.

“Ia hanya sebagai satu ilmu pengetahuan dan maklumat kepada kaum Cina sama seperti orang Melayu belajar tulisan Cina, dan boleh membaca tulisan Cina.

“Ia tiada kaitan kena masuk agama mereka (Cina). Ia hanya budaya, maknanya golongan Cina belajar dan memahami bahawa ada satu sosok huruf yang berbeza (huruf Jawi).

“Jadi dari sudut ilmu, budaya dan kefahaman masyarakat yang berbilang kaum, ia sesuatu yang positif. Kalau seseorang itu faham maksud sesuatu tulisan Jawi, saya lihat itu lebih baik daripada tidak faham apa-apa,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membubarkan Dong Zong, Ustaz Abdul Ghani mempunyai pandangannya yang tersendiri.

Katanya, sekiranya Dong Zong menimbulkan sesuatu yang menyebabkan keresahan, kerusuhan dan itu berasas, maka tindakan membubarkan kumpulan pendidikan itu adalah berasas.

”Kalau mereka bersedia menerima kebenaran dan logik yang berdasarkan ilmu, maka tidak mengapalah Dong Zong diteruskan.

“Tetapi dengan syarat mereka kena berfikir secara matang, terbuka, bersifat masa depan dan menerima hakikat negara ini adalah negara orang Melayu yang sebelum ini sangat rapat dengan tulisan Jawi.

“Terserah kepada orang Cina kalau nak masuk Islam, tapi kalau orang Cina nak menerima Islam yang baik, kenapa dia mesti tentang kebaikan? Jangan ditentang.

“Kalau orang Cina buat pilihan secara bebas, itu terserah kepada dia. Itu tandanya orang merdeka iaitu sukakan yang baik. Orang yang tidak merdeka sahaja sukakan benda yang sebaliknya,” ujarnya lag