Isu UEC: Gerakan gesa Nie Ching tidak kelirukan rakyat

Isu UEC: Gerakan gesa Nie Ching tidak kelirukan rakyat

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menggesa kerajaan segera menyatakan pendirian sama ada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf atau sebaliknya.

Beliau turut meminta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching supaya tidak lagi mengelirukan rakyat jika UEC masih tidak diiktiraf.

“Ia masih mengelirukan jika untuk menduduki PSAG (Peperiksan Sijil Amalan Guaman), masih memerlukan lima kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala graduan UEC masih tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, isu pengiktirafan UEC mencetuskan kekeliruan kerana kerajaan dilihat masih belum mengiktiraf sijil keluaran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) itu.

Namun, jelasnya, pada masa sama Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) dikatakan telah membenarkan lulusan-lulusan berkenaan menduduki peperiksaan tersebut menjelang Januari 2021.