Isu UEC: GPMS selari dengan pendirian PM, kata Presiden GPMS

Isu UEC: GPMS selari dengan pendirian PM, kata Presiden GPMS

Sebarang bentuk pengiktirafan Isu Unified Examination Certificate (UEC) perlu dilihat dari faktor kesesuaian dan persekitarannya.

Malah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meneliti dan mengkaji tentang pendirian Perdana Menteri, Tun Mahathir serta selari dengan pandangan beliau bahawa ia juga perlu dilihat dari segi teknikal dan persepsi masyarakat umum terhadap peperiksaan UEC itu sendiri.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa semalam.

Jelas beliau lagi, polemik mengenai peperiksaan UEC harus dinilai dengan lebih rasional serta perlu turut mengambil kira pandangan masyarakat umum.

Selain itu tegasnya, GPMS berpandangan bahawa isu ini bukan sahaja sensitif kepada orang Melayu semata-mata, sebaliknya kerajaan harus mengambil kira perasaan bangsa-bangsa lain termasuklah Cina, India dan lain-lain yang setia dan menerima sistem pendidikan kebangsaan.

“Adalah tidak adil sama sekali bagi kerajaan merombak Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi memenuhi keperluan pengiktirafan UEC yang merupakan hanya sebilangan kecil rakyat negara ini yang memilih untuk tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“Memandangkan Perdana Menteri telah pun menyatakan pendirian mengenai isu ini, maka sewajarnyalah bagi Menteri Pendidikan, Dr Maslee Malik untuk membubarkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) yang berada di bawah seliaan kementerian beliau.

“Penubuhan PPDUEC sudah tidak lagi relevan kerana ia bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri serta majoriti rakyat dalam negara ini,” tegasnya lagi.

Oleh itu tambahnya, GPMS menyokong penuh pendirian Tun Mahathir dalam isu ini serta membidas mana-mana pihak yang terus memberi tekanan serta mempertikaikan pendirian beliau dalam isu ini.