Malaysia Dateline

Usul percaya bukan isu perundangan, tapi amalan baik diperkenal Agong

Isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini oleh Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.

Beliau berkata, usul undi percaya yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong bukanlah melibatkan isu perundangan semata-mata, tetapi membabitkan amalan baik atau good practice yang cuba diperkenalkan Agong dalam keadaan negara menghadapi kemelut politik berpanjangan.

Beliau berkata, jika benar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung titah Agong, tidak salah sekiranya usul percaya dibawa ke Parlimen.

“Bagi saya, tak salah mengadakan undi percaya. Sebagai sebuah kerajaan yang bersungguh mengatakan ingin memperakui kedudukan Raja Berperlembagaan, sepatutnya kita mengambil berat titah Agong.

“Kita adakan undi percaya ini bukan semata-mata isu perlembagaan. Kerana perlembagaan tak boleh baca terpisah denhan keadaan yang berlaku sekarang ini.

“Saya merasakan bahawa dan saya minta supaya kalau betul kita menjunjung titah Agong, hendaklah kita melaksanakan titah ini iaitu diadakan usul percaya untuk mengesahkan mengesahkan yang amat berhomat dapat majoriti di Dewan Rakyat. Ini selaras titah Agong pada 18 Ogos,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.