Malaysia Dateline

Isu VIP solat Jumaat: Imam Besar Masjid Putrajaya tidak redha video dirakam

Tampil memberi penjelasan berhubung klip video sekumpulan orang berkumpul di depan pintu pagar Masjid Putra, Imam besar masjid itu, Ikmal Zaidi Hashim berkata, beliau tidak redha dengan tindakan menularkan rakaman tersebut.

Namun, dia tetap mendoakan agar mereka terbabit “mendapat hidayah” daripada Allah.

Walau bagaimanapun, Ikmal berkata, mereka perlu memohon maaf terlebih dahulu daripadanya.

Menerusi siaran langsung di Facebook miliknya semalam, dia turut menjelaskan mengenai syarat keempat taubat nasuha yang merupakan syarat tambahan kepada tiga syarat utama iaitu untuk memulangkan hak yang dizalimi kepada pihak yang sepatutnya.

“Kalau ada yang mendengar ini, tolong sampai-sampaikan. Ambil video yang saya cakap ni, kerat sikit, hantarlah kepada sesiapa (yang berkaitan),” katanya.

Semalam, Masjid Putra dalam satu kenyatan memberitahu pihak pengurusan masjid telah memperuntukkan “sejumlah kuota” daripada 300 kuota yang ditetapkan, untuk “jemaah tetap” yang telah mendaftar lebih awal.

Jelasnya, jemaah tetap itu telah memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan.

Reaksi Masjid Putra itu susulan tular klip video sejak 10 September lalu yang memaparkan seorang individu keluar dari sebuah kenderaan mewah.

Lelaki itu kemudiannya dilihat dibenarkan masuk ke masjid itu diiringi dua lelaki dipercayai pengawal keselamatannya ketika sekumpulan orang berkumpul di depan pintu pagar yang ditutup.

Menurut Ikmal juga, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khusus untuk kalangan VIP di jabatan kerajaan bagi solat Jumaat.

Katanya, jumlah kuota untuk solat Jumaat bagi masjid itu adalah seramai 300 orang iaitu 90 peratus daripadanya iaitu 270 orang merupakan orang awam manakala 10 peratus lagi iaitu 30 orang untuk VIP.