Malaysia Dateline

Isu wakaf: Jangan susahkan penjawat awam, baik kurangkan menteri dan berhentikan duta khas

Kerajaan dicadang membuat rombakan Kabinet dengan mengurangkan jumlah menteri bagi mengurangkan jumlah belanja kerajaan susulan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara sudah kekurangan duit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, dengan kurangnya menteri dan timbalan menteri, ia dapat menjimatkan banyak wang rakyat.

Beliau juga menyarankan kerajaan untuk memotong elaun pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain memberhentikan jawatan duta-duta khas yang dilihat tidak berfungsi.

“Potong gaji pengerusi-pengerusi GLC yang mempunyai elaun besar. Jawatan duta-duta khas juga mesti diberhentikan kerana kita tidak melihat adanya fungsi.

“Mereka hanya dapat elaun dan gaji buta sahaja tanpa memberikan perkhidmatan atau melakukan kerja mereka,

“Duta-duta khas ini mmg tidak sepatutnya ada. Saya mencadangkan Muhyiddin untuk melihat pada Kabinet dia sendiri dengan jumlah menteri dan timbalan menteri seramai 70 orang yang membazirkan duit rakyat,” katanya kepada media.

Terdahulu, Muhyiddin mengakui bahawa kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang akibat daripada perbelanjaan besar yang perlu disalurkan sepanjang negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, lebih RM600 bilion dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Sementara itu, Sofi juga mengingatkan kerajaan untuk tidak menyusahkan rakyat dengan mencadangkan penjawat awam berwakaf, namun wang rakyat digunakan sewenang-wenangnya untuk membayar saiz Kabinet yang besar.

Bahkan katanya, jelas sekali terdapat menteri yang tidak kompeten dalam kerajaan yang tidak telus dalam menguruskan wang rakyat.

“Janganlah diminta kepada pegawai kerajaan untuk memotong gaji mereka, (dan) mewakafkan sebahagian dari gaji mereka.

“Sedangkan menteri dan timbalan menteri ramai yang jumlah mereka tidak munasabah untuk mendapat elaun tinggi.

“Jangan cuba nak susahkan orang lain, mencadangkan orang lain supaya berwakaf tetapi wang rakyat digunakan sewenang wenangnya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyarankan penjawat awam berwakaf khususnya secara berkala melalui potongan gaji bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara, satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan persekutuan.

Muhyiddin berkata, tindakan itu antara empat perkara utama yang digariskan bagi memastikan instrumen wakaf dapat memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi negara.