Isu Zakir Naik: Jangan ambil kesempatan untuk kepentingan tidak berasas

Isu Zakir Naik: Jangan ambil kesempatan untuk kepentingan tidak berasas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, jangan ada mana-mana pihak menggunakan kesempatan untuk mengambil kepentingan yang tidak berasas dengan mengaitkan isu pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

Beliau berkata, perkara seperti itu seharusnya dihentikan supaya dapat menghentikan segala naratif lain yang mampu mencetuskan sentimen perkauman dan agama.

Rentetan isu tersebut, beliau turut mempersoalkan tentang sesetengah pihak yang memberi masalah kepada pendakwah dari India itu.

“Kenapa ada orang nak bagi masalah kepada beliau (Zakir Naik)? Saya pun tak faham. Beliau seorang tokoh yang hebat, kita mahu menggunakan ilmu dan memanfaatkannya dalam bentuk yang lebih ilmiah, tiba-tiba ada pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mempolitikkan kehadiran beliau.

“Saya tak salahkan Zakir, tetapi saya menyalahkan orang yang tidak faham kedudukan beliau dengan mendedahkan dia kepada satu keadaan yang tertekan,” katanya ketika sesi soal jawab Townhall di Seminar Islam Rahmatan Lil’ Alamin & Townhall Maqasid Syariah, di Dewan Nik Mohyidden Musa, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, hari ini.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf ketika memberikan penerangan mengenai Maqasid Syariah dalam sesi town hall yang diadakan hari ini.

Turut hadir dalam program anjuran Akademi Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan (Nunji) itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Pengerusi Akademi Nunji, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Dalam isu sama, Mujahid yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH berkata, kerajaan sudah membuat keputusan rasmi untuk tidak menghantar pendakwah itu pulang, justeru orang ramai tidak perlu membangkitkan isu bahawa menteri hanya berdiam diri.

“Zakir kekal di Malaysia. Tidak ada isu dan tidak ada keputusan untuk menghalau beliau keluar. Cuma kita konsisten, beliau (Zakir) kekal di Malaysia, tapi perlu hormatI undang-undang negara kita.

“Ada suara kata hantar dia (Zakir) balik. Itu bukan keputusan rasmi, jangan kaitkan keputusan tidak rasmi dengan tuntutan mereka dan menyatakan kita (kerajaan) lembik,” tegasnya lagi.

Pada 3 Ogos lalu, Zakir dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di di negara ini ketika berceramah di Kota Bharu dan ia telah mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke negara asalnya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mengulangi pendirian dengan keputusan tidak menghantar Zakir pulang ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.

Penceramah itu dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016, kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram serta menghasut melalui ucapan berbaur kebencian.