Malaysia Dateline

Isyarat jelas anak muda marah PN

Ketika ada yang mendakwa golongan muda negara kita tidak lagi menyokong PH, tular pula satu insiden yang boleh memberikan beberapa tafsiran, termasuk menafikan dakwaan tersebut.

Memang PDRM telah menangkap 20 individu yang dipercayai terlibat dengan kejadian merusuh, termasuk mereka yang membuat, menggantung kain rentang dan membakar suar di Parit Raja, Batu Pahat pada 13 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah, rata-rata yang ditahan itu berumur di antara 16 hingga 28 tahun dan merupakan penduduk setempat. Kesemua mereka dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 17 Mei.

Jelas Ismail, mereka ditahan susulan operasi mengesan dan menangkap yang dijalankan oleh PDRM sebaik sahaja maklumat diterima.

Hasil siasatan juga mendapati kejadian tersebut berlaku pada kira-kira jam 2 pagi di persimpangan Pekan Parit Raja di KM 22.5 Jalan Batu Pahat-Kluang. Kumpulan tersebut, tambah Ismail, yang dianggarkan seramai 40 orang telah membuat halangan menggunakan motosikal, dan kereta kepada pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian, selain merentangkan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’, serta membakar suar dan mercun.

Kain rentang tersebut telah dibawa dan digantung di jejantas di hadapan SJKC Kong Nan sejurus selepas kejadian.

Menurut Ismail, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342), serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Benar jika ada yang mengatakan anak-anak muda tersebut perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan apa-apa bantahan, apatah lagi kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, apa saluran yang betul yang boleh mereka gunakan? Asal bersuara sahaja, menerima padah.

Bagi mereka yang menyokong Kerajaan PN tentu mengutuk perlakuan anak muda tersebut walaupun sepatutnya mereka berbuat sedemikian terhadap serangan Israel di Palestin.

Dengan kain rentang bertulisan ‘kerajaan gagal’, mereka pasti mengatakan itu angkara atau tajaan PH, malah sesiapa sahaja yang membangkang PN, termasuk dari Umno sendiri! Tidak semestinya 20 anak muda tersebut menyokong PH, malah bukan mustahil mereka tidak menghiraukan politik pun.

Mustahil mereka berang kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk berHari Raya – mereka anak tempatan. Mungkin mereka tidak dapat bersabar lagi atas kegagalan Kerajaan PN menangani COVID-19 biarpun Program Imunisasi (Vaksinasi) Kebangsaan sudah berjalan tiga bulan.

Namun demikian, jika benar ada yang tidak peduli politik, tetapi masih mampu/sanggup mengatakan kerajaan gagal, apa tafsiran awal kita? Tentulah menganggap mereka marah, dan membenci (pada ketika ini ataupun sudah lama) Kerajaan PN.

Perincian dan yang sebenarnya mengenai pendirian mereka hanya dapat diketahui kemudian nanti selepas siasatan dijalankan. Begitu pun, di sebalik tidak bersetuju kerana unjuk rasa tersebut tiada permit, dan nampak jelas melanggar SOP PKP 3.0, para pemimpin dan penyokong PH tentu berharap 40 anak muda itu menyokong PH.

Lebih daripada itu, mereka juga diharapkan telah mendaftar sebagai pengundi, dan tidak beralih arah menyokong PN pula dalam PRU15 nanti. Semoga mereka tidak terpedaya andainya diumpan dengan pelbagai ‘gula-gula’ nanti. Perbalahan antara Umno dengan Bersatu (pimpinan Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin) semakin berlarutan.

Walau bagaimanapun, tidak semestinya pemimpin Umno terlibat, atau menjadi perancang insiden tersebut.
Justeru, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan kaitan beliau dengan insiden berkenaan. Ketika ini, kalau berpandukan media sosial, semakin ramai marah dengan Kerajaan PN.

Banyak sebab, dan antaranya ialah wabak pandemik maut sejak Januari 2020 yang tiada tanda-tanda mereda, dan program vaksinasi yang terus dikritik.

Menurut Puad, mungkin beliau dikaitkan kerana kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, dan konsisten mengatakan Kerajaan PN memang ‘Kerajaan Gagal’.

Tegas Puad menerusi akaun Facebooknya, sesiapa jangan menuduh melulu kerana Parit Raja berada dalam kawasan Parlimen Seri Gading, bukan Parlimen Batu Pahat.

Sebaliknya, pemimpin Kerajaan PN, tambah Puad, perlu memikirkan mengapa ada rakyat yang sanggup melakukan perkara tersebut pada Hari Raya Pertama.

Puad menempelak dengan mengatakan pemimpin PN dan PDRM jangan fikir hanya mahu menangkap anak-anak muda itu sahaja.

Sambil mengucapkan tahniah kepada orang Parit Raja, Puad memberitahu ada yang berHari Raya di lebuh raya sambil menayangkan kain rentang ‘Kerajaan Gagal’.

Justeru, beliau berharap PM8 (Mahiaddin) berpijak di bumi nyata. Tidak kira kerana apa 40 anak muda (lebih baik daripada 40 penyamun) itu merusuh, ia tetap isyarat penting kepada pemimpin PN agar mengakui kelemahan, dan memang tidak layak menjadi kerajaan.

Begitu juga apabila PH Johor menawarkan bantuan guaman percuma/probono kepada mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut. Itu bukan tanda PH Johor mendalanginya. Ia hanya memberi reaksi selepas kejadian, dan mahu memberikan bantuan. Biarkan jika ada yang mengatakan PH Johor mahu ‘menangguk di air yang keruh’.

Memang orang menangguk ikan di air yang keruh kerana tiada siapa akan menangguk di air yang jernih (saya teringat ayat bidasan ini oleh Dato’ Wira Mahfuz Omar lama dahulu dalam ceramah beliau semasa masih bersama-sama PAS). Pemimpin PH Johor telah membuat lawatan dan menyatakan rasa simpati kepada tiga keluarga yang anak mereka direman.

Menurut satu kenyataannya, PH Johor berpandangan, insiden Parit Raja itu merupakan manifestasi kegelisahan rakyat Malaysia terhadap kegagalan Kerajaan PN mengurus pelbagai isu negara ketika ini, termasuklah COVID-19.

Akibat kegagalan tersebut, rakyat terus tertekan dengan kos sara hidup, serta pelaksanaan dasar-dasar double standard yang memangsakan survival ekonomi mereka, tambah kenyataan itu.

PH Johor turut menggesa Kerajaan PN segera membuka Parlimen dan DUN Johor agar isu-isu dapat dibahaskan, dan dasar-dasar yang membantu rakyat dapat dilaksanakan.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pengerusi Amanah Johor yang juga ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor merangkap Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong.

 

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.