Malaysia Dateline

Isyarat lucah: 23 MP bawa usul ke atas timbalan menteri

Seramai 23 Ahli Parlimen pembangkang telah mengemukakan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Menerusi surat yang disebarkan, kesemua Ahli Parlimen berkenaan mengaku melihat Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komiditi itu menunjukkan jari tengah kepada Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang pada Selasa lalu.

Surat berkenaan dengan tandatangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong sebagai pemula usul bersama 22 saksi yang lain, telah diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun

“Pemberitahu usul seperti berikut dikemukakan untuk perhatian dan tindakan lanjut Datuk Yang Dipertua. Pada hari Selasa 1 Disember 2020, Yang Berhormat Willie Mongin telah menunjukkan isyarat jari tengah sebanyak dua kali kepada Ahli-ahli Parlimen yang lain.

“Perbuatan tersebut perlu diberi perhatian serius kerana merupakan tindakan yang lucah, biadap, dan menghina kemuliaan Dewan Rakyat; perbuatan itu juga bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(4), Peraturan Mesyuarat 41(a), dan tataetika sebagai seorang Ahli Parlimen.

“Maka dengan ini dipersetujui bahawa Yang Berhormat Willie hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan supaya siasatan dan tindakan lanjut boleh diambil ke atas perbuatan beliau,” kata surat berkenaan.

Surat itu juga turut disertakan sokongan tandatangan saksi.

Kesemua 23 saksi termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka mengesahkan Willie Mongin telah menunjukkan isyarat jari tengah sebanyak dua kali kepada Ahli-ahli Parlimen yang lain di Dewan Rakyat.

“Perkara tersebut telah disaksikan oleh kami sendiri semasa pengundian belah bahagian untuk belanjawan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat jawatankuasa sedang dijalankan.

“Penafian Willie Mongin adalah tidak benar dan merupakan suatu penipuan terhadap Datuk Yang Dipertua dan Dewan Rakyat. Kami bersedia untuk memberi keterangan lanjut kepada Datuk Yang Dipertua mengenai perkara ini.

“Dengan ini kami menyeru supaya Datuk Yang Dipertua mengambil tindakan tegas terhadap beliau demi memelihara kemuliaan Dewan Rakyat,” kata surat saksi.