Isyarat tidak baik jika BN menang, kata Mujahid

Isyarat tidak baik jika BN menang, kata Mujahid

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan memberi isyarat buruk memandangkan BN masih memainkan sentimen agama.

Padahal, jelasnya, institusi yang berkaitan dengan kepentingan Islam masih diketuai orang Islam bukannya DAP seperti yang didakwa Umno.

Tegasnya, orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini tidak wajar takut dengan DAP jika parti itu menang dalam pilihan raya termasuk pada 26 Januari ini.

“Jika BN menang, itu isyarat tidak baik kerana isu yang dimainkan oleh mereka masih isu agama, mereka akan kata habislah orang Islam jika DAP menang.

“Akan tetapi siapa pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH)? DAP kah? Siapa menteri yang jaga agama? DAP kah? Tiba-tiba hari ini mereka (Umno) nak jadi ‘champion’ dalam isu ini pula,” ujarnya.

Barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang turut hadir pada Ceramah Perdana di Felda Sungai Koyan malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan di Lipis malam tadi.

Sehubungan itu, Dr Mujahid berpendapat orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini akan terus mundur jika isu agama serta bangsa menjadi sentimen dan salah satu agenda perjuangan mereka.

Menurutnya, perasaan takut dalam kalangan orang Melayu terhadap bangsa lain juga akan meningkat ekoran sentimen yang dimainkan oleh Umno dan BN sebelum ini.

Calon PH dari DAP, M. Manogaran berdepan dengan tiga lawan dalam saingan empat penjuru pada PRK P078 iaitu dari BN, Ramli Mohd. Nor serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.