Isytihar darurat bencana kerana jumlah mangsa sudah meningkat, kata Musa Hassan

Isytihar darurat bencana kerana jumlah mangsa sudah meningkat, kata Musa Hassan

Kerajaan perlu mengumumkan pengisytiharan darurat bencana di Pasir Gudang memandangkan jumlah mangsa yang mendapatkan rawatan kini hampir mencecah 3,000 orang.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, situasi di lokasi itu sudah semakin serius namun beliau hairan mengapa tiada pengisytiharan darurat bencana dibuat.

“Pengisytiharan darurat bencana berbeza dengan darurat kerana menggugat keselamatan. Bila berlaku bencana berskala besar, darurat diisytiharkan agar agensi-agensi penyelamat boleh menguruskan sumber tenaga untuk memberi respon, mengurangkan dan memulihkan keadaan serta membantu mangsa-mangsa bencana.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan dan menghapuskan kesan agar dapat mencegah bahaya yang melanda di kawasan-kawasan yang terkena bencana tersebut.

“Dengan perancangan yang teratur, ia akan dapat memulihkan semula kepada keadaan biasa dengan secepat mungkin,” katanya dalam ciapan terbaru di laman Twitternya.

Semalam Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) menunjukkan jumlah pesakit yang masih menerima rawatan di hospital seramai 1,078 orang termasuk 8 masih berada di wad ICU.

Pada Khamis, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, tidak perlu ke tahap mengisytiharkan Pasir Gudang sebagai darurat kerana keadaan masih terkawal dan pihak berkuasa tahu bagaimana hendak menghadapi situasi itu.

Dalam satu sidang media khas di Hospital Sultan Ibrahim, Perdana Menteri berkata, sungguhpun perkara itu tidak pernah berlaku, tetapi dengan kepakaran pihak berkuasa termasuk pakar perubatan, masyarakat tidak perlu panik.

Menurut Dr Mahathir, sungguh pun perkara itu agak membimbangkan, tetapi beliau mempunyai keyakinan terhadap kebolehan doktor di sini dan beliau mengharapkan agar rakyat, terutamanya masyarakat di Pasir Gudang mempunyai keyakinan yang sama.