Isytihar harta melalui Akuan Berkanun bukan kepada SPRM, PM, parti, kata Invoke

Isytihar harta melalui Akuan Berkanun bukan kepada  SPRM, PM, parti, kata Invoke

Pengisytiharan harta hanya terpakai dari sudut perundangan sekiranya melalui Akuan Berkanun bukan mengisytiharkannya kepada perdana menteri, parti atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Rafizi Ramli.

Pengasas Invoke Malaysia (Invoke) itu berkata, pengisytiharan harta kepada Invoke sehingga kini seramai 103 orang yang membuat akujanji bersama Invoke dan mengisytiharkan harta mereka melalui Akuan Berkanun.

“SPRM menuntut supaya calon mengisytiharkan harta kepadanya tetapi yang tahu  hanya Najib dan SPRM sahaja.

“Jika seseorang itu ada harta dan pendapatan yang tidak munasabah dengan pekerjaannya itu boleh dijadikan ugutan pada pihak berkepentingan tetapi hingga kiamat rakyat tidak tahu.

“Mana-mana pengisytiharan harta yang dibuat kepada perdana menteri, SPRM atau parti masing-masing selagi tidak memenuhi syarat paling penting iaitu perlu mengisytiharkan kepada rakyat.

“Apa yang kita buat pengisytiharan itu dilakukan dengan Akuan Berkanun yang tertakluk kepada Akta Akuan Berkanun 1960 yang boleh kita tunjukkan kepada semua orang. Apa yang  Invoke lakukan sebenarnya berbeza dengan apa yang BN dan SPRM laksanakan.

“Bila tiba pilihan raya nanti kita akan hantar maklumat mengenai pengisytiharan itu  kepada pengundi di tempat calon.

“Jika apa yang diisytiharkan itu tidak munasabah di mata rakyat,  boleh buat laporan polis kepada mana-mana wakil rakyat yang didapati menipu harta yang dimilikinya untuk dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika mereka nak isytiharkan kepada pemimpin parti masing-masing tidak guna. Pengisytiharan kepada SPRM pula bagi tujuan
siasatan rasuah tidak ada gunanya kerana SPRM akan bagi alasan payah cari bukti, saksi dan pelbagai lagi.

“Akuan Berkanun lebih ketat berbanding apa yang disebut SPRM  (Ikrar Bebas Rasuah- IBR) dan diamalkan BN yang mengisytiharkan harta mereka kepada Najib,” ujarnya kepada media selepas Majlis Pengisytiharan Harta sesi ke-2 Invoke Malaysia di Subang Jaya malam tadi.

Barisan kepimpinan muda bakal calon dari AMANAH dan PKR yang turut menyertai Majlis Pengisytiharan Harta Sesi -2 yang diadakan di Subang Jaya malam tadi

Dalam majlis diadakan itu menyaksikan 40 daripada 103 calon dan bakal calon yang disertai  PKR dan AMANAH telah menandatangani akujanji  dann pengistiharan harta dengan Invoke.

Antaranya termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefli Ahmad, Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadhil .

Sebelum ini pada majlis menandatangani akujanji dan pengisytiharan harta kali pertama dilakukan pada 19 November tahun lepas, beberapa pemimpin AMANAH turut menyertainya.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Adun Hulu Kelang Saari Sungib, Adun Morib Hasnul Baharudin dan bekas Adun Mengkudu Ismail Salleh.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata,proses pengisytiharan harta untuk calon berpotensi perlu diteruskan kerana ia dikehendaki rakyat.

Walaupun beliau menyedari ada dikalangan mereka yang berasa malu dan bimbang harta mereka dipaparkan kepada umum.

“Ini adalah cara proaktif untuk membudayakan pengisytiharan harta. Oleh kerana tidak ada undang-undang mensyaratkan pengistiharan harta di negara ini, Saya mengambil masa lama untuk menyakinkan semua calon dengan idea Invoke ini.

“Apabila ada sambutan baik dikalangan rakyat mahukan pengisytiharan harta, mereka akan rasa tekanan dan memikirkan keperluan untuk melakukan pengisytiharkan harta ini kelak.

“Ada yang miskin rasa malu, yang banyak duit lebih takut orang minta duit.

“Saya kenal wakil rakyat yang jujur tapi teragak-agak bukan sebab rasuah tetapi ia berkaitan privasi, sebab itu ambil masa
lama untuk meyakinkan mereka melakukan perkara ini,” ujarnya.

Mohamad Sabu (kiri) menerima watikah akujanji  dan pengisytiharan harta berrsama Invoke daripada Rafizi Ramli (kanan)  yang akan dilaksanakan dalam kempen pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu ketika ditemui berkata, inisiatif dilakukan Invoke sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan adalah sangat baik.

Bahkan AMANAH ujarnya, menggalakkan semua calon dan bakal calon parti itu mengisytiharkan harta mereka.

“Saya fikir wajar semua calon perlu membuat pengisytiharan harta mereka. Kita tidak membuat deklarasi ini hanya kepada Invoke sahaja yang pentingnya setiap deklarasi itu perlu ada Akuan Berkanun tidak kiralah nak dibuat diperingkat negeri atau parlimen masing-masing.

“Salah satu cara nak elak salah guna kuasa selepas pilihan raya nanti. Ini kerana pendapatan orang politik ini tidak sepadan dengan elaun dan gaji yang diperoleh mereka jadi pengisytiharan harta ini perlu dilakukan,” ujarnya yang dianggarkan memiliki harta bersih sejumlah RM680,000.

Bahkan beliau menegaskan peranan SPRM sangat lemah dalam menangani rasuah di negara ini walaupun disarankan IBR  dilaksanakan kepada penjawat awam dan pemimpin politik.

“Paling penting peranan SPRM. Di Indonesia boleh mendakwa sesiapa sahaja. Tetapi di Malaysia SPRM boleh siasat sesiapa sahaja tetapi kalau bukan pro kerajaan cepat pula didakwa.

“Paling berat sekali 1MDB ada penangkapan di luar negara tiada satu pun penangkapan dilakukan di Malaysia,” ujarnya merujuk kepada rampasan kapal mewah milik jutawan Jho Taek Low yang disita di perairan Bali baru-baru ini.

Apa yang dilaksanakan Invoke ini hanya disertai dikalangan calon dan bakal calon AMANAH dan PKR.

Manakala Bersatu masih belum bersedia untuk menyertai usaha dilakukan Invoke ini dan DAP tidak menyertainya kerana tidak memiliki kerusi marginal pada pilihan raya umum akan datang.

Tumpuan Invoke membantu calon Pakatan Harapan dalam PRU14  lebih kepada kerusi marginal yang kebanyakannya ditandingi oleh PKR, AMANAH dan Bersatu.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 9.0