Malaysia Dateline

Isytihar harta: Pas dulu cabar, sekarang tidak mahu

 

Setiausaha Agung PKR mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan hadis untuk menolak usul pengisytiharan harta yang dibentangkan di parlimen semalam.

Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ini kerana Tuan Ibrahim sendiri pada 2015 pernah mencabar kerajaan terdahulu untuk mengisytiharkan harta mereka.

“Saya ada khilaf sikit tentang pendapat itu.. Adakah benar begitu? Sebenarnya Islam sangat mementingkan integriti.

“Pelaksanaan isytihar harta ini supaya rakyat boleh tahu dalam kalangan pemimpin yang mereka pilih dan undi ini, adakah mereka bersungguh untuk lawan rasuah.

“Tuan Ibrahim juga pada 2015, buat cabaran terhadap Datuk Seri Najib Razak supaya beliau mengisytiharkan harta. Kalau sekarang kamu kata Tuhan tak suruh, kenapa dulu kamu suruh?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media setahun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini.

Beliau menjawab soalan sebagai mengulas kenyataan Pas semalam yang berkata, dalam Islam, jika Allah memberi harta kepada mana-mana individu, mereka tidak boleh menghebohkannya kepada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau berkata niat sebenar kerajaan mengisytiharkan harta adalah sebahagian daripada mekanisme kerajaan bersungguh-sungguh tingkatkan integriti dan melawan rasuah.

Jelasnya lagi, semalam semua ahli parlimen kerajaan menyokong, tetapi pihaknya tidak mendapat sokongan dari pembangkang dan Pas.

“Saya minta rakyat menilai keadaan ini siapa yang bersungguh untuk tunjukkan kepada rakyat dan siapa pula yang berhelah,” katanya.

Semalam Tuan Ibrahim menyatakan Pas tidak menyokong usul isytihar harta di Parlimen melainkan ia dipinda merujuk kepada undang-undang.