
Isytihar harta: Peruntukan khusus digubal tahun depan, kata GIACC
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed menjangkakan satu peruntukan undang-undang yang khusus berkenaan pengisytiharan harta dan aset akan digubal selewat-lewatnya tahun hadapan.
Jelasnya, inisiatif yang dilakukan kini juga sebahagian daripada proses menjadikan pentadbiran negara lebih telus.
“Itu dalam proses yang akan mengambil masa termasuk kajian dan sebagainya di mana ia bukan sahaja melibatkan ahli Parlimen, juga akan melibatkan pihak-pihak lain,” katanya seperti seperti dipetik Astroawani pada Selasa.
Bagaimanapun, ia masih perlu mendapatkan kelulusan daripada Kabinet untuk memastikan kerajaan berpuas hati bahawa undang-undang itu cukup komprehensif untuk dikuatkuasakan.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan Ahli Parlimen termasuk isteri dan anak mengisytiharkan harta masing-masing.