Malaysia Dateline

Isytihar harta termasuk dalam KPI menteri, kata Mahathir

Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) mencadangkan skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) termasuk pengisytiharan harta dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata semua menteri juga harus memastikan anggota pentadbiran di bawah kementerian masing-masing mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua menteri dan timbalan menteri, dan kita juga akan panjangkan kepada semua anggota parlimen walaupun mereka dalam parti lawan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) kali kelapan, di sini hari ini.

Menurutnya, anggota parlimen pembangkang juga perlu mengisytiharkan harta kerana mereka juga mempunyai kuasa tertentu antaranya kuasa mengkritik kerajaan.

“Jadi sebagai yuran, mereka juga perlu isytiharkan harta ,” katanya, sambil menambah kerajaan perlu melalui speaker Dewan Rakyat sebelum inisiatif itu dapat dilaksanakan.

Selain itu, Dr Mahathir berkata semua menteri juga perlu mewujudkan dan melaksanakan dasar penerimaan hadiah di kementerian masing-masing.

Katanya semua menteri harus menandatangani akujanji mengeluarkan arahan dan memastikan pelaksanaan dasar berhubung penerimaan hadiah itu dilaksanakan.

— BERNAMA