Malaysia Dateline

Isytihar harta untuk tujuan baik, mengapa ditolak, bidas Hanipa

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin membidas tindakan pembangkang menolak keputusan kerajaan supaya semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta.

Jelas beliau, perkara tersebut memang tidak terikat dengan undang-undang bahawa Anggota Parlimen perlu mengisytiharkan harta, begitu juga dengan soal pelantikan Ketua Pembangkang.

Kata Hanipa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak terikat dengan undang-undang untuk melantik mana-mana Anggota Parlimen Pembangkang sebagai Ketua Pembangkang.

“Amalan mengisytiharkan harta (dalam kalangan Anggota Parlimen), untuk makluman pembangkang bukanlah isu undang-undang atau manifesto,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Tambah beliau, perisytiharan harta sebenarnya isu amalan yang baik, pentadbiran dan etika yang baik. Justeru ia tidak perlu ditolak.

Beliau menyimpulkan tindakan pembangkang itu sebagai apa yang diistilahkan dalam bahasa Indonesia sebagai “goblok”.

Hanipa berkata demikian mengulas tindakan Umno dan Pas yang membuat keputusan menolak untuk mengisytiharkan harta mereka seperti kehendak usul yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Pas dan Umno sepakat berpendirian bahawa tiada keperluan untuk Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing, dengan alasan mereka tidak tertakluk kepada arahan itu dari segi undang-undang.

Bagaimanapun bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pertubuhan itu tidak ada masalah atau rasa keberatan jika wakil rakyat mereka mahu membuat pengisytiharan berkenaan.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebelum itu berkata isu perisytiharan harta adalah soal manifesto PH.