Malaysia Dateline

Isytihar sejarah perjalanan sebelum masuk Sarawak

Pelawat yang hendak memasuki Sarawak diingatkan supaya membuat pengisytiharan dengan jujur berkaitan tempat atau negeri yang pernah dilawati sebelum ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pengisytiharan itu adalah dalam tempoh 14 hari sebelum penerbangan atau kemasukan ke negeri ini.

JPBN menegaskan, kegagalan serta keengganan pelawat atau individu tertentu untuk membuat pengisytiharan yang tepat boleh membawa penyebaran penyakit ke dalam Sarawak.

“Jika gagal melakukan pengisytiharan ini, ia adalah melanggar kehendak undang-undang dan boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Ini kerana, semalam Sarawak telah merekodkan tiga kes import B yang mana kes ke-723 semasa tiba dari Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2020, gagal membuat pengisytiharan pernah melakukan perjalanan ke Sabah dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Kes pernah beberapa kali berulang alik ke Kota Kinabalu, Sabah dan kali terakhir kes balik dari Sabah ialah pada 26 September 2020 melalui Lapangan Terbang Miri,” jelas JPBN.

Bagaimanapun, ujar JPBN kes berkenaan tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

“Kes ini dikategorikan sebagai kes Import B yang telah mendapat jangkitan semasa berada di kawasan yang berisiko tinggi iaitu kemungkinan di Sabah.

“Siasatan lanjut dan pengesanan semua kontak kepada kes ini masih dijalankan,” tambah JPBN lagi.

Pada masa sama, JPBN memaklumkan Polis Sarawak telah mengeluarkan 28 notis kompaun iaitu di Miri (19), Kuching (8) dan Betong (1) kerana tidak mematuhi prosedur pengendalian standard (SOP).

“Bagi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak pula telah mengeluarkan 92 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan pelbagai pihak berkuasa tempatan,” kata JPBN.