“Itu baju kegemaran arwah,” rupanya ini punca remaja jatuh dari balkoni 34 tingkat

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara semalam dikejutkan dengan khabar kematian seorang remaja yang terjatuh daripada tingkat 34 di sebuah kondomininium di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Difahamkan, mangsa iaitu Adly Zarkasyi Alzafry dikatakan terjatuh selepas bertindak memanjat pagar balkoni rumahnya untuk mengambil baju kemeja-T yang tersangkut.

Bapa saudara mangsa, Taufik Mohd Zain memaklumkan bahawa kemeja-T tersebut merupakan baju kegemarannya yang baru dibeli untuk dibawa pulang ke kampung.

Remaja berusia 18 tahun itu rupanya sudah merancang untuk pulang ke kampungnya di Perlis dengan menaiki bas hari ini ekoran masih ada kelas di kampusnya semalam.

Malangnya selepas terjatuh, penuntut semester satu Diploma Teknologi Maklumat di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu telah maut di lokasi kejadian, lapor Harian Metro.

“Itu baju kegemarannya yang baru dibeli. Rakan maklumkan, dia nak bawa baju itu pulang ke kampung. Ketika itu (kejadian berlaku) saya berada di rumah di Perlis. Terkejut apabila diberitahu anak saudara terjatuh bangunan.

“Lalu, saya minta anak saya yang berada di Kuala Lumpur untuk ke kondominium berkenaan. Kebetulan pula, keluarga Kasyi (Adly Zarkasyi) baru tiba di Perlis petang semalam (kelmarin). Dia tidak dapat ikut keluarganya.

“Kerana (mangsa) masih ada kelas dan sepatutnya dia pulang ke kampung menaiki bas esok. Tetapi tak sangka pula kejadian ini berlaku, menjadi asbab kematiannya,” kata Taufiq memetik laporan Harian Metro.

Insiden mengerikan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam semalam dan Taufik hanya mengetahuinya sebaik sahaja menerima panggilan daripada ahli keluarganya.

Ulas bapa saudara berusia 58 tahun itu, arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik adalah remaja periang, berani, suka cabaran dan sangat rapat dengannya.

“Ibu bapa arwah masih bersedih dengan kejadian menimpa anak mereka,” katanya yang memaklumkan jenazah akan dikebumikan sebaik sahaja selesai bedah siasat.

Jelas Taufiq lagi, anak saudaranya yang terakhir ditemui pada kira-kira sebulan lalu itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam TTDI Jaya, bertempat di Shah Alam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.17 malam.

Baca juga: Shila Amzah kongsi ‘tour’ banglo, ramai setuju jual rumah lepas nampak perkara ini