Itu hak Anwar untuk bertanding, saya tak masuk campur, kata Mahathir

Itu hak Anwar untuk bertanding, saya tak masuk campur, kata Mahathir

Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak untuk bertanding di dalam pilihan raya kecil (PRK), demikian menurut Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada media, Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  berkata, Anwar telah memaklumkan niatnya itu ketika beliau berada di Hong Kong.

“Dari Hong Kong dia telefon saya untuk beritahu yang dia ada PRK. Itu haknya. Saya tak masuk campur dalam perkara itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Menjawab pertanyaan media sama ada patut atau tidak satu kerusi dikosongkan untuk Anwar, Mahathir berkata pihaknya mengambil maklum perhatian yang dibuat orang ramai terhadap perkara itu.

Bagaimanapun Mahathir menyatakan sokongan kepada pencalonan Anwar tetapi beliau tidak akan turun berkempen untuknya.

“Saya beritahu Anwar, biasanya saya tak berkempen dalam pilihan raya kecil. Tetapi saya akan sokong pencalonannya.”

Pada 12 September lalu, PKR mengumumkan kerusi parlimen Port Dickson akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.

Penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan akan mengosongkan kerusinya bagi membolehkan Anwar menjadi anggota parlimen dan seterusnya perdana menteri pada masa akan datang.

Danyal juga berkata beliau akan terus berkhidmat di kawasan itu sebagai “mata dan telinga” kepada Anwar.

Ketika ditanya amaran Bersatu Port Dickson agar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani agar tidak turun berkempen di sana, Mahathir berkata anggota bahagian itu berhak untuk menyuarakan pandangan mereka.

Penyelaras Bersatu Port Dickson Ramli Awang berkata pihaknya mengalu-alukan Anwar untuk bertanding tetapi tidak dapat menerima Rafizi dan Abdullah kerana menuduh Mahathir dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar.

“Itu pandangan bahagian. Anggota adakala tidak ikut peraturan…(tetapi) mereka ada hak untuk suarakan pendirian,” katanya dipetik Malaysiakini.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote