“Itu projek syarikat swasta bukan negeri, saya cuma umumkan” – Sanusi jawab dakwaan projek mega gagal

Oleh MAISARAH AISYA

Rakyat negeri Kedah dijanjikan dengan pelbagai projek mega yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Namun segala info terkini mengenai projek masih tidak dimaklumkan maka beliau tampil menjawab segala persoalan.

Menurut Sinar Harian, beberapa projek yang diumumkan Muhammad Sanusi sebelum ini bukanlah di bawah kerajaan negeri sebaliknya dilaksanakan oleh syarikat pelaburan swasta.

Ini termasuk projek Widad Langkasuka dan litar lumba di Langkawi, pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani.

Projek tak gagal

Tampil menjawab persoalan mengenai projek yang dikatakan gagal, Muhammad Sanusi memaklumkan ia bergantung kepada komitmen syarikat terlibat.

“Sektor swasta bergantung kepada perniagaan, ramai yang tak faham tentang ini, orang anggap apabila umum projek mesti jadi.

“Projek yang kita maklum sebelum ini, adalah perancangan swasta.

“Syarikat swasta berhasrat bangunkan projek tersebut, kita umumlah. Tidak merugikan duit kerajaan pun, saya jaga amanah kerajaan, bukan jaga syarikat swasta.

“Kalau pertimbangan syarikat itu ada kekangan, mereka tangguh atau pilih secara berfasa, itu hak mereka,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Bukan projek kerajaan negeri

Pada masa sama beliau memperjelas situasi disebabkan segelintir pihak membuat tuduhan terhadap kerajaan negeri gagal menyiapkan projek berkenaan.

“Ada pihak tak pandai memandang perkara baik. Hanya mencari perkara buruk, apa yang mereka cari, yang itu mereka dapat.

“Kerajaan negeri pun berhati-hati supaya tidak terbabit dengan projek-projek yang boleh menjadi ‘gajah putih’.

“Kita sangat berhati-hati dengan duit pembayar cukai, apatah lagi orang dalam perniagaan, kalau rugi kena keluar modal sekali lagi. Ia tidak bagus untuk pertimbangan perniagaan.

“Ada pihak tak faham kata semua itu projek kerajaan negeri sedangkan ia dilaksanakan pihak swasta,” katanya.

Baca juga: Peniaga siap cakap rugi 50 peratus sebab ‘car free zone’, sekali ADUN turun terus ‘spin’ cerita