IYRES sokong pembentukan Majlis Tahfiz Negara

IYRES  sokong pembentukan Majlis Tahfiz Negara

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh usaha pembentukan Majlis Tahfiz Negara yang telah diumumkan pada 28 November 2018.

Dalam satu kenyataan IYRES memaklumkan telah pun mula mengendalikan penyelidikan berkaitan iaitu ‘Kajian Ke Atas Institusi Pengajian Tahfiz Di Malaysia’ yang bermula Mac 2018 dan dijangka siap pada Ogos 2019.

“Aspek yang diberi perhatian dalam kajian ini adalah selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) merangkumi aspek modul pengajian, kompetensi tenaga pengajar,pengurusan serta tadbir urus.

“Kajian yang dijalankan oleh IYRES ini juga memberi penekanan tambahan kepada penyerlahan potensi pelajar tahfiz yang merupakan golongan belia Malaysia.

“Pengumpulan data melibatkan responden dalam kalangan pelajar tahfiz, tenaga pengajar, serta pihak pengurusan telah dilaksanakan. Proses pengumpulan data akan diteruskan kepada pihak Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, waris pelajar serta graduan yang telah menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tahfiz di Malaysia,” ujar Muhammad Hadi Muhammad Nafi dari Unit Perhubungan Awam IYRES.

Pada 28 November lalu Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata Majlis Tahfiz Negara bakal ditubuhkan tahun depan bagi membolehkan usaha menyelaras dan mengawal selia sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri, dilaksanakan secara berkesan.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan).

Menurut Muhammad Hadi lagi, perancangan pelaksanaan kajian ini telah dibentangkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pada 11 Januari 2018.

Selain Jakim, wakil lain yang dilibatkan dalam kajian ini adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) serta golongan akademik dalam bidang berkaitan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“IYRES yakin keberhasilan kajian yang dilaksanakan ini akan menyumbangkepada hala tuju Majlis Tahfiz Negara selaras dengan matlamat untukmeningkatkan keberkesanan Institusi Pengajian Tahfiz di Malaysia dalam penyerlahan potensi belia,” ujarnya.

Dapatan penyelidikan oleh IYRES  akan  dapat meningkatkan pembanguan Institusi Pengajian Tahfiz di Malaysia dari aspek:

1. Menyelaraskan input rujukan bagi pengukuhan aset dalaman/luaran pelajar-pelajar tahfiz
2. Pemantapan tadbir urus Institusi Pengajian Tahfiz
3. Pemantapan mekanisme pengurusan hal ehwal tahfiz
4. Pengukuhan kompetensi tenaga pengajar Institusi Pengajian Tahfiz
5. Pencapaian dan sumbangan Institusi Pengajian Tahfiz di Malaysia
6. Mekanisme penyelerasan dan pemantauan ke atas modul pengajian Institusi Pengajian Tahfiz di Malaysia
7. Mekanisme penyelarasan bagi pemantauan operasi Institusi Pengajian Tahfiz