Izad Shahidi dilantik Ketua Pegawai Eksekutif UJSB

Izad Shahidi dilantik Ketua Pegawai Eksekutif UJSB

Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) telah melantik Izad Shahadi Mohd Sallehuddin untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa pada 2 April 2019.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkata, pelantikan itu dibuat susulan jawaban bertulis bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim di Dewan Rakyat pada 26 Mac 2019 yang mengatakan bahawa UJSB pada ketika itu masih tidak mempunyai pihak pengurusan mahupun ketua pengawai eksekutif.

“Pelantikan Encik Izad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif UJSB adalah langkah awal pembentukan pasukan pengurusan di UJSB bagi memastikan kelangsungan serta peningkatan nilai pulih aset-aset tersebut.

“Ini adalah penting bagi mengurangkan kos tanggungan Kerajaan dalam menebus kesemua Sukuk yang diterbitkan dalammembantu pemulihan kedudukan kewangan TH,” ujar kenyataan itu.

UJSB merupakan sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) yang dimiliki penuh Kerajaan bagi membantu proses pemulihan aset-aset yang telah diambilalih daripada Lembaga Tabung Haji (TH) pada akhir 2018.

Manakala Prokhas Sdn Bhd (Prokhas) hanya diberi tanggungjawab sementara waktu bagi membantu memastikan pentadbiran dan operasi aset-aset tersebut berjalan dengan lancar.

“Dengan penubuhan pasukan pengurusan UJSB yang baharu, pentadbiran
dan operasi aset-aset akan diambilalih sepenuhnya oleh UJSB dan tidak lagi akan melibatkan Prokhas,” katanya lagi.

Izad Shahadi mempunyai kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Nottingham dan Sarjana Muda Ekonomi daripada London School of Economics.

Beliau juga berpengalaman luas dalam bidang pengurusan portfolio ekuiti dan kewangan korporat, menurut kenyataan itu.