Meskipun sudah enam tahun berlalu, kemelut antara Izreen Azminda dengan bekas isteri Ude Wahid iaitu Intan Liana Saleh masih lagi tidak menemui titik nokhtah.
Izreen yang selama ini berdiam diri kerana sedar kedudukannya sebagai ‘isteri kedua’ Ude, sepertinya sudah hilang sabar apabila Intan dikatakan terus membuli dan memprovokasinya.
Izreen berkata, dia tidak pernah sekali pun mengganggu Intan sepanjang enam tahun mendirikan rumah tangga bersama Ude, selain mendakwa Intan hanya ‘berhalusinasi’.
Tambahnya, bekas isteri suaminya itu kerap melakukan provokasi dengan sengaja sehingga dia nekad mengambil tindakan undang-undang.
“Aku rasa ada orang dah berlebihan ni. Aku diam selama ini kalau melebih-lebih pula ye. Tak habis-habis berhalusinasi aku kacau kau. Yang kau kacau aku apa pasal kau tak sebut.
“Berapa banyak yang kau kacau aku dah terbuka dekat mahkamah. Kau gelabah, kau terus pergi melalak semata-mata nak tengok orang hina dan kecam aku.
“Memang terapi kau ke apa selama 6 tahun ini suka tengok orang maki hina aku. Ingat, sabar aku ada had ye. Tak habis-habis dengan drama kau. Jangan nak samakan diri kau dengan orang lain sangat. Kau tahu apa yang kau dah buat,” tulis Izreen di IG Story miliknya semalam.
Izreen turut mendedahkan pihaknya sudah menunjukkan semua bukti provokasi yang didakwa dilakukan oleh Intan kepada peguamnya.
Menerusi hantaran lain, Izreen memuat naik entri mendakwa Intan gagal memberikan kerjasama apabila tidak membuka pintu ketika pihak peguamnya datang untuk memberikan notis mahkamah.
Sementara itu, Intan dalam hantaran di Instagram pula mendedahkan masih menerima pelbagai mesej daripada warganet yang mengatakan ‘pihak sebelah sana’ masih mencanang berita mengenainya sehingga hari ini.
Menerusi hantaran itu, Intan meluahkan rasa kecewa apabila dituduh masih tidak ‘move on’ dengan bekas suaminya kerana sering berkongsi luahan perasaan di media sosial.
“Kalau korang di tempat bonda sekarang apa yang korang akan buat? Bangkit melawan atau akur dengan tuntutan saman mereka?
“Bila disaman, bonda menangis. Tiada hala tuju dan hanya meluah perasaan di laman Instagram sendiri. Macam mana nak ‘move on’ kalau tiba-tiba dapat surat saman? Kena diam ke?,” katanya dalam hantaran itu.
Intan turut mempersoalkan haknya untuk membuka mulut kerana sering disaman apabila bersuara selain turut menyatakan sama ada dia perlu diam seribu bahasa atau menutup akaun miliknya.
Untuk rekod, Intan yang bercerai dengan Ude pada 2018 sempat bermadu dengan Izreen sebelum berkahwin dengan penjawat awam Mohd Aizam Yahya, 27, pada 2021.
Baca juga: Pernah dilamar ribuan jemaah haji, Mutawif kongsi 4 tips tepis ‘godaan’ poligami