“Izz Imil sama macam anak-anak lain, ceria dan sangat petah berbicara” – Menteri Pendidikan Tinggi

Oleh WAN SITI AMINAH

“Berperwatakan ceria dan sangat petah berbicara”, itulah sikap kanak-kanak genius dikenali sebagai Izz Imil Shahrom yang diterima masuk ke Universiti Malaya (UM) pada usia cukup muda iaitu 12 tahun.

Perkongsian itu dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi akaun Facebook miliknya susulan menemui kanak-kanak berkenaan di UM, petang semalam.

Difahamkan, pertemuan singkat bersama Izz Imil semalam turut disertai ibu bapa kanak-kanak terbabit dan Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Menurut Zambry, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik itu sangat  meminati subjek tersebut sehingga perbualan mereka banyak berkisarkan mengenai nombor.

Dalam pertemuan tersebut, Zambry turut dimaklumkan oleh pihak UM bahawa pengambilan Izz Imil sudah melalui proses temu duga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti.

“Izz Imil sama seperti anak-anak lain seusia dengannya. Berpewatakan ceria dan sangat petah berbicara. Ternyata minat beliau dengan matematik sangat mendalam sehingga perbualan kami juga banyak berkisar tentang nombor.

“Saya juga dimaklumkan oleh pihak UM bahawa pengambilan ini telah melalui proses temuduga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti dan diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian di UM,” katanya dalam hantaran itu.

Jelas Zambry, pihak universiti juga telah merangka beberapa perancangan khusus supaya kanak-kanak berusia 12 tahun itu dapat belajar dengan persekitaran yang baik dan kondusif.

Zambry juga menyeru agar orang ramai mendoakan Izz Imil supaya kanak-kanak itu dapat belajar dengan baik dan mampu memberikan hasil terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Sama-sama kita doakan agar adik Izz Imil dapat belajar dengan baik, menjadi pelajar cemerlang dan mampu memberi hasil terbaik kepada masyarakat dan negara. 

“Kepada adik Izz Imil, kita jumpa lagi nanti. Banyak lagi ‘game trick’ yang kita nak buat sama-sama nanti.” Ujarnya lagi dalam hantaran sama.

Baca juga: Kanak-kanak Permata Pintar cipta sejarah, masuk Universiti Malaya di usia 12 tahun