Izzah Amzan jangka terima saingan sengit pemilihan atlet ke sukan SEA Filipina

Izzah Amzan jangka terima saingan sengit pemilihan atlet ke sukan SEA Filipina

Gimnas negara, Izzah Amzan terpaksa bekerja keras untuk merebut slot ke Sukan SEA Filipina dengan kehadiran beberapa gimnas muda dan juga gimnas berpengalaman, Amy Kwan Dict Weng.

Selain Amy, Izzah juga dijangka menerima saingan sengit daripada gimnas remaja meningkat naik, Rayna Hoh.

Hanya dua gimnas terbaik negara akan dipilih membawa nama negara pada Disember ini.

Izzah, 18 tahun, bagaimanapun berkata terpaksa bersaing dengan beberapa atlet untuk merebut slot itu tidak menjadi penghalang kepada semangat juangnya untuk meraih kejayaan.

“Bagi Sukan SEA Filipina nanti akan ada pemilihan dan hanya dua terbaik dalam negara sahaja akan dipilih. Walaupun saingan sengit namun saya yakin harapan untuk saya meraih slot terbuka luas. Saya kena cepat-cepat merebut kedudukan itu,” katanya selepas majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia MSSM-MILO 2018.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu dinobatkan dengan Anugerah Puteri selepas beliau meraih kejayaan cemerlang tahun lepas, memperoleh pingat perak Sukan Komanwel Gold Coast dan lima pingat emas dan satu perak pada Sukan Sekolah ASEAN di Kuala Lumpur.

“Syukur dengan pengiktirafan ini dan terus terang saya tidak pernah menyangka akan dipilih untuk menerima anugerah ini. Ia adalah satu anugerah berprestij bagi atlet muda macam saya,” katanya.-¬†BERNAMA