J/K Tertinggi Msia-China kukuhkan aspek pertahanan

J/K Tertinggi Msia-China kukuhkan aspek pertahanan

 

Sebuah jawatankuasa tertinggi antara Malaysia dan China akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan aspek pertahanan kedua-dua negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Pertahanan China Jeneral Chang Wanquan.

Beliau berkata jawatankuasa itu bertujuan menginstitusikan hubungan dua hala antara Malaysia dan China selain dapat memikirkan segala aspek yang boleh membina atau mengeruhkan hubungan sedia ada.

“Ia (jawatankuasa tertinggi) juga akan ada kumpulan kerja tertentu, antaranya pendidikan dan latihan, pertukaran maklumat dan isu semasa seperti ancaman Daesh selain berkaitan aset yang digunakan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China Xu Qiliang di Kementerian Pertahanan,  hari ini.

Menurutnya antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah isu Laut China Selatan, ancaman Daesh dan isu Korea Utara.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan isu Korea Utara yang dibincangkan ketika ditanya media.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pihaknya belum membuat keputusan sama ada untuk membeli Rafale, pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA), buatan Perancis.

“Kita masih membincangkan dan mempertimbangkan. Ada cadangan-cadangan lain dan kita kena tengok secara menyeluruh, antaranya sama ada ia membantu membina industri pertahanan negara kita,” katanya.

TAGS