J/Kuasa baharu Umno Semporna dibentuk, seramai 110 ahli PKR sertai Umno

Oleh MALAYSIADATELINE

Umno Bahagian Semporna dilihat terus kukuh apabila jawatankuasa baharu di bahagian itu telah dibentuk dan seramai 110 ahli PKR mengisytiharkan sertai Umno hari ini.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran melahirkan rasa kesyukurannya setelah bahagian itu hampir lumpuh kerana bekas ketua bahagian Datuk Mohd Shafie Apdal, bekas naib ketua bahagian Datuk Jaujan Sambakong dan AJK yang bertindak keluar parti beramai-ramai pada Jun lalu.

“Saya bersyukur hari ini Umno Semporna terus kukuh berjuang untuk rakyat, telah berjaya menubuhkan jawatankuasa Umno bahagian setelah konflik politik melibatkan mantan ketua bahagian,naib ketua bahagian dan barisan AJK bahagian yang keluar parti.

“Umno bahagian Semporna akan meneruskan agenda membela rakyat seiring dengan kepimpinan Umno negeri Sabah dan pusat,” ujarnya ketika berucap di hadapan 300 ahli parti itu dalam majlis Solidariti Rakyat Semporna di Kampung Kubang Jaya, Semporna petang tadi.

Dalam majlis sama hari ini, beliau menerima penyertaan seramai 110 ahli PKR bahagian Semporna yang bertindak keluar parti dan menyertai Umno.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang, turut mengesa ahli Umno bersatu kembali bagi mengukuhkan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Daripada sumber diperoleh mesyuarat Umno Bahagian Semporna sebelum ini dilaporkan gagal bermesyuarat kerana tidak cukup keahliannya.

Antara sebahagian daripada ahli PKR yang masuk Umno bergambar kenangan bersama pemimpin Umno bahagian Semporna.

Namun pada Khamis lalu, jawatankuasa Umno bahagian Semporna yang baharu sudahpun dibentuk dan mendapat restu daripada Ketua Menteri  merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang diadakan di kediaman rasminya di Sri Gaya.

“Umno terus kukuh walaupun beberapa minggu lalu dilanda konflik yang agak memberi kesan kepada bahagian Semporna namun begitu hari ini terbukti Umno masih lagi utuh dengan barisan jawatankuasa yang baharu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan persidangan Umno bahagian itu dijangka akan diadakan pada 10 September depan.

Difahamkan juga bahagian Semporna masih lagi menghadapi konflik dengan AJK pemuda dan wanita yang masih lagi belum dibentuk.

“Kita jangka masalah itu akan selesai dalam tempoh seminggu ini,” ujarnya seperti dimaklumkan sumber kepada Malaysia Dateline hari ini.

 

Jawatankuasa baharu Umno Bahagian Semporna bergambar bersama Pengerusi Perhubungan Umno negeri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada Khamis lalu di kediaman rasmi beliau di Sri Gaya.