Pelakon dan pengacara veteran, Jaafar Onn kini dilaporkan berada di zon kritikal di unit kecemasan Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang).
Menurut anak angkat Jaafar yang dikenali sebagai Hanif Hashim, pelakon berkenaan dikejarkan hospital setelah dikesan membuang air besar berdarah pada malam Isnin.
Hanif turut memaklumkan tekanan darah dan bacaan jumlah hemoglobin (sel darah merah) milik Jaafar juga didapati telah berada pada paras yang rendah, lapor Mstar.
Jaafar yang mulanya menjalankan pemeriksaan di klinik kemudian segera dikejarkan Hanif ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut di pusat perubatan itu.
“Dia (Jaafar) semalam buang air besar berdarah selain tekanan darah serta bacaan hemoglobinnya rendah. Malah doktor di klinik yang kami pergi pun berkata mereka tak boleh buat apa-apa.
“Katanya, kena bawa ke hospital. Jadi saya terus bawa ke Hospital Serdang sekitar pukul 12 pagi. Sekarang sudah sedar, tetapi berada di dalam wad kecemasan di zon kritikal,” katanya memetik laporan Mstar.
Mengulas lanjut, Hanif menjelaskan bahawa bapa angkatnya itu tidak menunjukkan sebarang jenis gejala sebelum mengalami pendarahan semasa membuang air besar.
Namun pelakon terbabit perlu menjalani pemeriksaan lebih lanjut termasuk prosedur endoskopi untuk mengesan sebarang kelainan pada bahagian usus dan perutnya.
Hal ini berikutan kejadian pendarahan ketika Jaafar membuang air besar sudah tiga kali berlaku kepadanya sejak beliau mula mengalaminya pada bulan Julai, tahun lalu.
“Tiada simptom. Cuma dia sakit perut sebelum tiba-tiba ada darah ketika buang air besar. Disebabkan masalah itu berulang, jadi doktor mahu melakukan prosedur endoskopi.
“Pemeriksaan lain (juga akan dijalankan) bagi mengesan punca sebenar dia buang air besar berdarah. Sudah tiga kali jadi. Mulanya bulan Julai tahun lepas, kemudian November dan semalam (Isnin).
“Dia ingat sudah sihat sebab sebelum ini punya doktor beritahu puncanya sebab ada ulser dalam usus.” Ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman di media sosial memaparkan Jaafar yang sedang berkerusi roda dan perlu dibantu oleh beberapa individu ketika ingin masuk ke dalam kereta.
Baca juga: Jual botol udara segar edisi terhad pada harga hampir RM70k, 2 pemuda bergelar jutawan sekelip mata