Penceramah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus antara pendakwah yang tidak mempunyai tauliah untuk mengajar dan berceramah di Terengganu.
Hal tersebut disahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) seperti dilaporkan dalam portal Harian Metro.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin dilaporkan berkata, keseluruhan 1,313 individu mempunyai tauliah untuk berceramah agama, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran.
Jumlah ini termasuklah yang diberi tauliah khas mengajar agama sahaja dan mengajar agama Islam termasuk kitab, ceramah umum serta al-Quran.
Katanya lagi, larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.
Sebelum ini kecoh apabila kuliah Ustaz Azhar Idrus di Selangor dibatalkan kerana isu tiada tauliah.
Isu itu seterusnya mencetus polemik sehingga pihak berkuasa agama hampir setiap negeri tampil mempertahankan keperluan tauliah mengajar ini.
Terengganu antara yang terkini tampil menjelaskan larangan berceramah terhadap golongan yang tiada tauliah terutama ahli politik.
M Rozi berkata, JHEAT meminta individu yang ingin mengajar dan mengadakan kuliah di masjid serta surau supaya membuat permohonan dengan pihaknya termasuk mengemuka maklumat peribadi dan kelulusan akademik.
“Kita amat mengalu-alukan individu yang berkelayakan membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah,” katanya.
Baca juga: Solat hajat buat Mahiaddin, imam parti pembangkang tersasul baca doa?